Ladang babi Bukit Tagar: Daripada beratus jadi satu - MB Selangor

Ladang babi Bukit Tagar: Daripada beratus jadi satu – MB Selangor

Kesetiaan terpilih
AMIRUDIN SHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pembukaan ladang ternakan babi  berpusat di Bukit Tagar, Hulu Selangor akan menempatkan keseluruhan 112 ladang di Tanjung Sepat, Kuala Langat dan tiga di Sungai Belankan, Sepang di satu kawasan sahaja.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ketika ini tiada pemusatan ladang haiwan ternakan itu di pelbagai kawasan sehingga menyebabkan pencemaran dan ketidakselesaan dalam kalangan penduduk berhampiran.

“Realitinya kita hendak tutup lebih seratus ladang ternakan babi di negeri ini, maknanya kita hendak kurangkan jadi satu.

“Niatnya, kita hendak tutup yang ada pencemaran, tak timbul kita hendak buka (lebih) besar,” katanya dalam ucapan pada Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Pengerusi Panel Penasihat Pusat Sebaran Maklumat Nasional (Nadi) Selangor dan Kuala Lumpur, hari ini.

Utusan Malaysia semalam melaporkan Perusahaan ternakan babi di Kampung Ladang Tumbuk di Tanjung Sepat akan ditutup dan perkara itu akan dibawa ke Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor, esok.

Exco Infrastruktur dan Pertanian, Datuk Izham Hashim berkata, pembaharuan lesen juga tidak akan diberikan sehingga pemindahan penternakan dilakukan di ladang babi moden berpusat di Bukit Tagar yang akan dipercepatkan.

Malah, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan supaya kerajaan negeri tidak mengeluarkan sebarang peruntukan kewangan atau membuat pelaburan terhadap pembukaan dan operasi ladang ternakan babi di Bukit Tagar pada masa hadapan.

Ia antara tiga perkara yang diperkenan dan ditetapkan oleh baginda selepas berkenan menerima menghadap Izham Hashim dan Exco Pelancongan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Ng Suee Lim di Istana Bukit Kaya­ngan, semalam.

Amirudin menegaskan, tidak timbul isu Selangor akan mengeksport babi apabila jumlah ternakan yang ada ketika ini sekitar 100,000 ekor berbanding 250,000 ketika pentadbiran Pakatan Rakyat (PR) bersama Pas.

“Masa Exco Pas (portfolio diterajui Pas) dulu, dia (benarkan) ternakan babi sehingga 250,000 ekor, sekarang Exco Amanah (portfolio diterajui Parti Amanah Negara) (cuma) ada 100,000 ekor. Macam itulah senang cerita.

“Hendak eksport (babi) kamu tak belajar Islam, kamu tak faham Islam, babi itu haram. Siapa (umat Islam) yang tak tahu babi itu haram? Jadi, apa yang kita terangkan kita kena jelaskan dengan baik,” tegasnya.

Beliau menambah, beliau menjunjung titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah supaya satu kajian terhadap keperluan penggunaan tempatan dilaksanakan untuk mendapatkan maklumat dan data tepat.

”100,000 ekor untuk 30 peratus (keperluan). Kita akan buat kajian local consumption, berapa sebenarnya jumlah yang diperlukan. Itu sebenarnya yang kita hendak lakukan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×