KOTA BHARU: Emmanuel Mbarga Junior muncul wira apabila jaringan tunggalnya pada masa kecederaan memastikan kemenangan 1-0 Kelantan Red Warriors FC (KRW) ke atas Selangor FC II pada perlawanan Liga A1 Semi Pro di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini malam ini.
Pada perlawanan itu, Selangor lebih dahulu menguji gawang tuan rumah melalui rembatan jarak jauh Abdul Rahman Daud pada minit ke-16, namun tersasar ke tepi sebelah kiri gol.
Abdul Rahman sekali lagi menguji kem tuan rumah melalui sepakan percuma pada minit ke-19 tetapi ditepis penjaga gol KRW, Shafiq Afifi Suhaimi. KRW tidak berdiam diri dan memberi saingan sehingga mencipta beberapa peluang walaupun belum mampu mencemaskan kubu pelawat.
Kedua-dua pasukan bagaimanapun terus berdepan kebuntuan mencipta jaringan dan kedudukan kekal terikat 0-0 sehingga tamat separuh masa pertama.
Bermula babak kedua, Mohammad Haykal Danish Mohd. Haizon hampir memecah kebuntuan gol namun rembatannya melalui sepakan percuma pada minit ke-48 sedikit melewati palang gol KRW. Muhammad Rizuan Muda pula mensia-siakan peluang terbaik diperoleh KRW apabila sepakannya pada minit ke-58 tersasar walaupun sudah menewaskan Ahmad Azeem Izhar Ahmad Rizal di gawangnya.
Mbarga akhirnya memecahkan kebuntuan jaringan melalui rembatan deras pada masa kecederaan, sekali gus memuktamadkan kemenangan KRW dan menceriakan hampir 1,000 penyokong di stadium. Keputusan tersebut menyaksikan KRW merampas kedudukan keenam daripada ATM FC dengan 29 mata sementara Selangor FC II kekal menerajui liga dengan 36 mata. – UTUSAN











