KUALA LUMPUR: Reda menerima ketentuan jodoh yang berakhir, pelakon, Kamal Adli menzahirkan penghargaan buat bekas isterinya, Uqasha Senrose, kerana sudi menerimanya sebagai suami empat tahun lalu.
Kamal atau Ahmad Kamal Ahmad Adli, 40, menyifatkan tempoh perkahwinan mereka sebagai pengalaman bermakna yang banyak mendewasakannya sebagai seorang lelaki dan bapa kepada puterinya, Hawra Uqaira.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Uqasha kerana pernah menerima saya sebagai suami. Dialah yang banyak mengajar saya tentang kehidupan berumah tangga dan bagaimana menjadi seorang lelaki.
“Sejujurnya, saya tidak mempunyai pengalaman dalam perkahwinan, apatah lagi memikul tanggungjawab sebagai seorang bapa. Jadi, saya amat menghargai segala yang dipelajari daripadanya,” katanya.
Kamal ditemui dalam keadaan sugul selepas melafazkan cerai talak satu terhadap Uqasha di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, semalam.
Pelakon drama Setelah Terlafaznya Akad itu turut mengakui kelemahan diri sebagai punca keruntuhan rumah tangga mereka.
“Saya mohon maaf sekiranya terdapat kekurangan dalam diri saya sehingga membawa kepada situasi ini. Kesalahan itu saya letakkan sepenuhnya pada diri sendiri.
“Jika saya seorang suami yang lebih baik, mungkin perkara ini tidak berlaku. Namun, saya reda dengan ketentuan ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, Kamal turut memohon orang ramai agar mendoakan dirinya terus kuat demi meneruskan kehidupan selepas perpisahan.
“Saya mohon didoakan agar diberi kekuatan. Kepada keluarga Uqasha, saya memohon maaf jika gagal menjaga dan membahagiakan dia dengan sebaiknya. Saya sudah mencuba sedaya upaya, namun setakat ini sahaja jodoh kami,” jelasnya.

Ditanya mengenai hubungan dengan Uqasha selepas perceraian, Kamal berkata masih terlalu awal untuk menentukan sama ada mereka mampu mengekalkan hubungan sebagai sahabat atau sebaliknya.
Sementara itu, Uqasha menegaskan pintu hatinya buat masa ini masih tertutup jika dipujuk bekas suaminya untuk kembali rujuk.
Beliau berkata, fokus utamanya kini hanya untuk meneruskan kehidupan bersama anaknya Hawra Uqaira, 19 bulan, dengan tenang.
“Buat masa ini tak ada (buka pintu hati). Saya tak tahu untuk masa hadapan bagaimana, tapi untuk sekarang, saya hanya mahu memandang ke depan sahaja,” katanya.
Mengulas mengenai perasaannya selepas lafaz cerai dibuat, Uqasha mengakui dia sudah bersedia dari segi mental kerana dirinya yang memfailkan permohonan terbabit.
Terdahulu, Kamal melafazkan talak satu terhadap Uqasha di hadapan Hakim Syarie, Siti Noraini Mohd. Ali pada pukul 12.56 tengah hari semalam.
Kamal dan Uqasha mendirikan rumah tangga pada 5 November 2021 dan hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira. – UTUSAN










