Kajian kembalikan UPSR, PT3 dilaksana tahun ini

Kajian kembalikan UPSR, PT3 dilaksana tahun ini

UPSR PT3
FADHLINA Sidek berucap pada perasmian pembukaan SJK (C) Ladang Regent, Elmina, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kajian bagi mengadakan semula peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Tingkatan 3 (PT3) akan dilaksanakan pada tahun ini sebelum dibentangkan kepada Jemaah Menteri.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, dalam kajian tersebut kementeriannya turut mendapatkan input dan permintaan daripada ibu bapa disamping impak terhadap pentaksiran yang sedang dilaksanakan ketika ini.

“Pentaksiran (berasaskan bilik darjah) dilaksanakan sekian lama, ada kesannya kerana ia memberi penumpuan kepada pentaksiran secara holistik. Yang kita hendak kaji adalah dari segi kita mendengar permintaan ibu bapa dan apa yang kita laksanakan ketika ini.

“Sebab itu, saya minta beri kita sedikit masa dan akan memberi penjelasan kepada masyarakat selepas kajian secara menyeluruh dilaksanakan dan kita akan membentangkannya kepada Jemaah Menteri,” katanya ketika ditemui pemberita, hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan, cadangan Kementerian Pendidikan mengembalikan peperiksaan awam UPSR dan PT3, wajar dalam menangani kelemahan sistem penilaian pendidikan sedia ada.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Dr. Mohamad Ali Hasan memberitahu, situasi tanpa peperiksaan nasional yang bersifat piawaian menyukarkan penilaian prestasi pelajar secara adil dan telus.

Terdahulu, Fadhlina hadir merasmikan pembukaan Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Ladang Regent, Elmina, di sini. Seramai 206 murid di sekolah itu memulakan sesi persekolahan baharu bagi tahun 2026.

Secara keseluruhan hampir 900,000 murid sekolah rendah dan menengah memulakan sesi persekolahan tahun baharu di seluruh negara bermula semalam dan hari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×