Perintah berkurung Wilayah Narathiwat dari 9 malam hingga 5 pagi

Perintah berkurung Wilayah Narathiwat dari 9 malam hingga 5 pagi

BEBERAPA stesen minyak yang dibom di Wilayah Narathiwat, selatan Thailand.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NARATHIWAT (THAILAND): Pi­hak berkuasa isytiharkan perintah berkurung di Wilayah Narathiwat berkuatkuasa serta-merta ekoran se­rangan bom di 11 stesen minyak di tiga wilayah Selatan Thai, awal pagi kelmarin.

Sumber Pusat Perintah Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 (ISOC 4) berkata, perintah berkurung setiap hari itu bermula 9 malam hingga 5 pagi sehingga diberitahu kelak.

Katanya, pemeriksaan di tiga pintu masuk sempadan Thailand-Malaysia iaitu Sungai Golok, Tak Bai dan Bukit Ta juga mula diperketatkan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Orang ramai, termasuk rak­yat Malaysia di Wilayah Narathiwat dinasihat supaya mematuhi semua peraturan dan perintah operasi yang dikeluarkan Pasukan Petugas Khas Narathiwat.

“Perintah berkurung ini dikuatkuasakan sebagai usaha pihak berkuasa meningkatkan langkah keselamatan yang kini diletakkan pada tahap tertinggi.

“Kecuali dalam kes-kes ke­perluan mendesak untuk keluar rumah dalam tempoh itu, kebenaran mesti diperoleh daripada anggota tentera, pegawai polis, ketua kampung, atau pegawai pentadbiran tempatan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Sumber memberitahu, kawalan perjalanan serta pemeriksaan kenderaan lebih ketat di setiap sekatan jalan raya juga akan dilakukan susulan ketegangan yang meningkat dan gangguan besar seperti pengeboman stesen minyak itu.

Katanya, arahan perintah berkurung itu ditandatangani Komander Pasukan Petugas Khas Narathiwat, Mejar Jeneral Yodawut Phungphak dan dikuatkuasakan mengikut Akta Un­dang-undang Tentera 1914 dan Dekri Darurat 2005.

“Pengumuman berhubung perintah berkurung itu telah dihebahkan kepada orang ramai. Ia memaklumkan mengenai situasi insiden keganasan dan pergolakan yang berlaku secara berterusan di Wilayah Narathiwat.

“Oleh itu, adalah perlu untuk mengerahkan tentera, polis dan pasukan awam untuk mengekalkan keamanan dan ketenteraman serta untuk melin­dungi nyawa, mayat dan harta benda rakyat,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×