Gelaran ‘ustaz’ datang dengan ilmu, amanah

Gelaran ‘ustaz’ datang dengan ilmu, amanah

TUAN GURU LEBAI YAHYA ABU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM masyarakat kita hari ini, gelaran ‘ustaz’ sering disebut namun hakikatnya ia bukan sekadar panggilan tetapi satu pengiktirafan terhadap ilmu, kefahaman dan amanah dalam menyampaikan dakwah.

 

TUAN GURU LEBAI YAHYA ABU

Umur: 74
Pendidikan: Pondok Pokok Asam, Kubur Panjang
Sekolah Arab Minhajul Abidin
Pondok Lanai
Jawatan: Guru agama/kitab

Malang sekali, kebelakangan ini gelaran tersebut semakin ringan di bibir, mudah dipakai dan kadang kala disalah guna oleh segelintir pihak.
Sesuatu yang perlu difahami adalah ustaz bukan sekadar gelaran tetapi lahir daripada proses yang panjang iaitu menuntut ilmu, memahami kaedah, berguru dengan adab dan mengamalkan apa yang diajar.

Agamawan, Tuan Guru Lebai Yahya Abu atau lebih dikenali sebagai Tuan Guru Lebai Din turut melahirkan kebimbangan dengan perkembangan tersebut terutamanya dalam kalangan mereka yang menggunakan gelaran ustaz tanpa kelayakan ilmu yang sahih.

“Itu yang dinamakan penyakit yang makan diri. Penyakit yang dinamakan syuhrah (mencari perhatian atau kemasyhuran). Tuhan nilai kita bukan kerana kemasyhuran atau gelaran itu.

“Ulama dahulu pun berhati-hati dalam perkara ini. Ada yang menguasai pelbagai cabang ilmu dan menghafal kitab namun enggan digelar alim. Banyak daripada mereka yang segan atau takut digelar ‘tok guru’ kerana untuk mendapat gelaran itu mereka perlu belajar sekurang-kurangnya 144 kitab.

“Bergelar atau digelar ‘ustaz’ ini tidak salah namun harus datang selepas ilmu bukan mendahului ilmu selain baik akhlaknya jika tidak gelaran itu bukan meninggikan darjat tetapi boleh jadi saksi di Padang Mahsyar kelak di hadapan Tuhan,” katanya ketika ditemui di kediaman beliau dekat Kampung Paya, Pokok Sena, Kedah baru-baru ini.

Menurut agamawan ini yang bertalaqi dengan puluhan ulama sejak remaja di negara dan negara jiran, apa yang membimbangkan gelaran tersebut digunakan untuk menghalalkan pandangan sendiri sehingga mencetuskan perpecahan atau meraih pengaruh sahaja.

“Tidak salah ingin bergelar ustaz jika mahu menyampaikan ilmu agama atau berdakwah tetapi belajarnya ilmu agama secara mendalam.

Bergurulah dengan alim ulama yang masih ada untuk belajar kitab.
“Tanpa ilmu itu saya khuatiri apa yang disebarkan mengundang banyak kemungkaran kelak bukan untuk diri kita malah kepada orang lain juga.

Saya memberi perumpamaan memasak gulai kambing untuk 1,000 jemputan namun buat satu kawah sahaja. Tentu tidak cukup. Jadi, hendak cukup kita tambahlah bahan-bahan lain seperti kentang atau rias pisang.

“Nampak tidak adil bukan kepada jemputan lain? Demikian kalau kita tidak berilmu tetapi ingin berdakwah, yang dikhuatirkan kita terpaksa menambah itu ini yang tidak betul sahaja,” katanya yang terkenal dengan panggilan, Pak Long dalam kalangan anak muridnya.

Beliau bagaimanapun tidak terkejut dengan perkembangan tersebut kerana ia sudah disebut sebagai tanda-tanda akhir zaman apabila terdapat ramai mendakwa mereka pendakwah namun menyimpang atau menyesatkan.

“Zaman kita ini sudah akhir zaman. Zaman penuh di muka bumi ini orang yang mengaku alim tetapi mahu cari dunia sahaja. Saya berharap kita semua dilindungi daripada perkara ini,” katanya.

Tuan Guru Lebai Din yang masih aktif mengajar kitab khususnya berkaitan tauhid ini turut menitipkan pesanan agar umat islam tidak mengabaikan tiga ilmu yang menjadi tiang agama iaitu tauhid, fardu ain dan tasawuf.

“Tidak ada manusia yang sempurna namun kita perlu sempurna daripada tiga perkara ini iaitu roh, jasad dan akal. Untuk mengisi ketiga-tiga ini adalah melalui ilmu tauhid, fardu ain dan tasawuf. Kalau tiga ilmu ini tidak ada hidup pun tidak guna.

“Kita belajar pun bukan untuk riak atau terkenal apatah lagi gelaran tetapi sebagai jalan memperbaiki amal ibadat kita, menyucikan jiwa dan mempersiapkan diri untuk akhirat. Kalau mahu belajar pun, pergilah kepada mereka yang betul-betul mahir dalam ilmu itu,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×