KUANTAN: Golongan transgender dan individu pernah terlibat hubungan sesama jantina mengakui mereka insan biasa dan mempunyai keinginan untuk berubah, meskipun sebahagian telah melalui kehidupan lampau yang panjang dalam gejala sosial dan penyalahgunaan dadah.
Apa diharapkan sokongan masyarakat bagi membantu mereka yang kini diibaratkan seperti cendawan tumbuh selepas hujan lalu menguatkan tekad untuk meninggalkan segala amalan lampau bukan dengan cara menghukum dan cercaan.
Seorang transgender yang hanya ingin dikenali sebagai Chombie, 36, berkata, titik perubahan dalam dirinya bermula ketika negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran penularan pandemik Covid-19.
Dia yang 11 tahun bekerja sebagai pekerja seks berkata, pada ketika itu hidupnya kosong dan seolah-olah tidak mempunyai arah.
“Saya mula terfikir, sampai bila mahu hidup begini? PKP membuatkan saya banyak masa bersendirian dan di situlah saya mula menilai diri. Saya solat solat dan saya berasa selesa,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Bercerita lanjut, Chombie berkata, pada awalnya dia berasa takut untuk berubah kerana stigma masyarakat yang sering memandang serong terhadap golongan seperti dirinya.
“Saya risau kalau orang tidak menerima saya atau terus menghukum masa lalu saya. Kini Alhamdulillah, saya dapat mengubah diri saya, pergi ke masjid solat berjemaah.
“Alhamdulillah saya juga sudah pergi menunaikan umrah pada bulan April tahun lalu tajaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menerusi program Kem Nusantara Ibadah (NIC),” katanya.
Mengimbau kisah silam, Chombie berkata, naluri kewanitaan dalam dirinya bermula sejak kecil lagi dan mula rapat dengan rakan transgender ketika berada di sekolah menengah.
Menurutnya, ketika usianya 19 tahun, dia melakukan pembedahan hidung di Hat Yai, Thailand, diikuti implan dahi, membesarkan payudara dan pembedahan penukaran jantina.
“Saya ubah diri saya secara total pada ketika itu dan saya mula bekerja sebagai pekerja seks pada usia 19 tahun di Singapura. Saya tinggal di Kuantan dan berulang alik ke Singapura.
“Pelanggan saya yang utama adalah warga asing, ada juga rakyat tempatan. Pendapatan lumayan, paling kurang RM30,000 sebulan,” katanya yang memaklumkan dia langsung tidak terlibat pengambilan dadah dan alkohol.
Chombie berkata, selain pembedahan, dia juga mengambil pelbagai suntikan dan ubat-ubatan untuk tubuhnya kelihatan cantik membabitkan perbelanjaan keseluruhan melebihi RM200,000.
Katanya, dia tekad berubah ketika usianya 30 tahun selepas merasakan sudah jauh menyimpang dalam kehidupan songsang yang penuh dengan kepura-puraan dan keseronokan palsu.
Seorang lagi hanya ingin dikenali sebagai Zack mendedahkan pengalaman silamnya pernah terjebak dalam dunia hubungan sesama jantina dan dadah selama hampir lima tahun sebelum mengambil keputusan berubah demi masa depan lebih baik.
Menurutnya, kecenderungan berbeza sejak remaja membuatkannya mencari jalan hidup sendiri, namun akhirnya terjerumus ke dalam pergaulan tidak sihat termasuk penyalahgunaan dadah.
“Saya pernah hidup dalam kegelapan. Lima tahun saya terjebak dengan gaya hidup songsang dan dadah, sehingga hampir merosakkan diri sendiri.
“Akhirnya saya sedar jalan itu tidak membawa kebahagiaan. Saya mahu berubah, kembali kepada agama dan masyarakat dan membina kehidupan yang lebih tenang,” ujarnya.
SOKONG KAMI UNTUK BERUBAH
Golongan transgender dan hubungan terlarang mengakui mereka pendosa yang ingin berubah demi memperoleh keampunan dan keredaan Allah.
Atas kesedaran itu, golongan terbabit mengikuti bimbingan di Rumah Mengaji dikendalikan Persatuan Insaf Pahang (PIP) yang bukan sahaja mengajar bacaan al-Quran, malah mendidik hati, memperbaiki diri dan membina kekuatan rohani agar lebih dekat dengan Allah.
Pengerusi PIP, Cik Norshamsuri berkata, tepat pukul 6 petang setiap Jumaat dan Sabtu, lebih 25 orang komuniti termasuk transgender mula memenuhi ruang belajar di Rumah Ngaji PIP di Jalan Wong Ah Jang di sini dengan wajah penuh harapan untuk mendalami ilmu al-Quran.
Katanya, mereka hadir bukan sahaja untuk menimba ilmu, tetapi bagi membina keyakinan diri, memperkukuh ukhuwah sesama komuniti dan membuktikan bahawa ruang pembelajaran agama terbuka untuk semua lapisan masyarakat.
“Kelas ini diadakan sehingga pukul 10 malam dengan bantuan tiga orang ustaz yang mendapat tauliah daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip).
“Kami mahu semua orang merasakan al-Quran itu milik bersama tanpa diskriminasi. Kehadiran peserta pada setiap minggu menunjukkan sambutan yang semakin menggalakkan.
“Bagi mereka, ruang ini menjadi tempat selamat untuk belajar tanpa rasa dihakimi,” katanya.
RUMAH NGAJI PIP BERMULA PADA 2016
Cik Norshamsuri berkata, kelas itu bermula pada 2016 dan semua komuniti terlibat yang hadir ke situ memasang impian cukup besar untuk berubah dan mendekati Allah.
“Sejak diwujudkan, memang ramai yang datang mengaji. Ia macam chipsmore. Kadang melebihi 50 orang sekali datang. Kehadiran tidak menentu disebabkan oleh kekangan kerja. Yang betul-betul konsisten setiap minggu dalam 25 orang.
“Tapi kalau buat Program Mukhayyam ramai yang datang sehingga melebihi 150 orang. Program ini cuma perlu hadir tiga hari sahaja dan ia diadakan cuma setahun sekali,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, terdapat kira-kira 250 komuniti itu di negeri ini yang berdaftar dengan persatuan berkenaan.
“Namun, jumlah sebenar dipercayai lebih ramai. Dalam dunia moden pada ketika ini, golongan ini tidak berani menonjol secara terbuka.
“Tambahan lagi, ketika ini banyak aplikasi cari pasangan hubungan terlarang. Terlalu banyak isu tentang perkara ini,” katanya sambil menegaskan bahawa anggaran jumlah sebenar sukar diberikan kerana terlalu subjektif.
MAHU TUNAI UMRAH
Beliau berkata, rata-rata golongan terbabit menyimpan harapan cukup besar agar suatu hari nanti mereka berpeluang menunaikan umrah dengan sokongan pihak yang sudi menaja perjalanan rohani tersebut.
Menurutnya, ia lahir daripada keinginan mendalam mereka untuk merasai tanda penerimaan dan kasih sayang Ilahi terhadap usaha yang dilakukan bagi mengubah kehidupan ke arah lebih baik.
Katanya, ramai dalam kalangan ahli persatuan itu terdiri daripada individu yang sedang berusaha memperbaiki diri selepas melalui pelbagai cabaran hidup termasuk masalah sosial dan ekonomi.
“Bagi mereka, peluang menunaikan umrah bukan sekadar ibadah, tetapi simbol penghargaan terhadap kesungguhan meninggalkan masa silam yang penuh dugaan dan cabaran,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya sentiasa berusaha mencari jalan untuk membantu golongan berkenaan, termasuk melalui kerjasama dengan badan korporat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta individu yang prihatin.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan bahawa sokongan masyarakat cukup penting dalam memberi semangat baharu kepada mereka yang sedang berusaha membina kehidupan lebih bermakna.
“Apabila ada pihak yang sudi menaja perjalanan umrah ini, ia bukan sahaja meringankan beban kewangan, malah menjadi dorongan moral yang besar untuk kami terus istiqamah.
“Kami adalah pendosa yang mengharapkan keampunan dan reda Allah. Memang tak dapat dinafikan naluri sebagai maknyah itu tetap ada, sebab itu kami sedaya upaya untuk terus istiqamah dan mahu berubah,” katanya.-UTUSAN











