Sultan Selangor tidak setuju operasi ternakan babi

Sultan Selangor tidak setuju operasi ternakan babi

Garis panduan ladang babi
SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dukacita dan tidak bersetuju dengan perancangan kerajaan negeri membenarkan operasi penternakan babi di Tanjong Sepat, Kuala Langat, bermula tahun ini, sebelum dipindahkan ke Bukit Tagar pada 2030.

Sultan Sharafuddin mengambil maklum dan memandang serius keputusan kerajaan negeri yang membenarkan operasi penternakan babi di Tanjong Sepat, Kuala Langat mulai tahun ini, sebelum dipindahkan ke Bukit Tagar pada 2030, di atas tanah seluas kira-kira 202 hektar.

“Secara prinsipnya, Baginda akur dengan kewujudan penternakan babi dalam skala kecil dan terkawal, demi untuk memenuhi keperluan sumber makanan rakyat berbangsa Cina dan bukan Islam di Selangor.

“Namun, perancangan berskala besar adalah tidak wajar, tidak sensitif dan tidak seimbang dengan realiti demografi serta keharmonian masyarakat Selangor yang majoritinya adalah populasi orang Melayu Islam,” kata kenyataan media dikeluarkan Istana Alam Shah, hari ini.

Sultan Selangor menzahirkan kebimbangan memandangkan Kuala Langat didiami oleh ramai penduduk Melayu dan sehingga ke hari ini, masalah berkaitan penternakan babi di kawasan tersebut masih gagal diselesaikan sepenuhnya sejak 2010.

“Ini kerana, penduduk sekitar sudah lama menanggung pelbagai kesan negatif termasuk bau busuk yang berlarutan, pencemaran air sungai serta masalah lalat yang tidak berkesudahan hingga menjejaskan kualiti hidup dan kesihatan awam,” kata kenyataan itu.

Baginda berkenan memetik beberapa ayat al-Quran antaranya dalam Surah Al-An’aam ayat 145 yang menyebut bahawa daging babi adalah najis atau kotor.

“Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor ingin menegaskan bahawa kediaman Baginda, Istana Pantai Bahagia juga terletak di Kuala Langat dan Baginda sendiri merasai serta menyaksikan secara langsung kesan pencemaran bau yang berpunca daripada aktiviti penternakan babi di kawasan tersebut.

“Justeru, adalah tidak munasabah untuk isu yang berlarutan lebih sedekad ini dibiarkan berulang dalam skala yang lebih besar,” kata kenyataan sama.

Istana Alam Shah menyatakan bahawa Sultan Selangor tidak bersetuju dengan cadangan menjadikan Kuala Langat sebagai lokasi sementara penternakan babi sebelum berpindah ke Bukit Tagar kerana bimbang masalah pencemaran yang berlarutan di kawasan itu sejak 16 tahun lalu akan menjadi lebih buruk.

“Justeru, Baginda mempersoalkan dengan serius sama ada perancangan projek penternakan babi berskala besar ini ada melibatkan kepentingan kelompok ahli politik dan ahli perniagaan tertentu.

“Serta menimbulkan kebimbangan terhadap kemungkinan wujudnya unsur rasuah, konflik kepentingan atau ketirisan tadbir urus dalam proses perancangan dan kelulusan projek berkenaan,” katanya.

Baginda turut mengimbas kembali inisiatif kerajaan negeri yang pernah menghantar wakil ke luar negara untuk mendapatkan informasi tentang penternakan babi secara moden.

“Namun, dikhabarkan bahawa kos pemodenan itu menelan belanja yang sangat tinggi dan tidak sanggup untuk ditanggung oleh pengusaha ternakan.

“Jadi Baginda mempersoalkan cadangan terbaharu ini sama ada ia akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri, sedangkan peruntukan itu lebih bermanfaat disalurkan untuk pembangunan kemudahan asas rakyat seperti sekolah dan hospital,” katanya.

Sultan Sharafuddin tidak membantah sepenuhnya cadangan projek berkenaan, namun kajian pasaran harus dibuat dengan teliti dan rasional sebelum ketetapan muktamad dibuat.

“Ini kerana pembangunan ekonomi tidak boleh mengorbankan kesejahteraan rakyat, kelestarian alam sekitar dan keharmonian masyarakat berbilang kaum di Selangor.

“Kerajaan negeri hendaklah bertindak dengan amanah, telus dan bertanggungjawab serta mengutamakan kepentingan rakyat melebihi segala kepentingan lain,” kata kenyataan itu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×