Malaysia, Turkiye perkukuh kerjasama AI, nadir bumi

Malaysia, Turkiye perkukuh kerjasama AI, nadir bumi

ANWAR Ibrahim menerima kunjungan Mesut Ozil (kanan) di Istanbul, Turkiye.-FB ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISTANBUL: Teknologi kecerdasan buatan (AI) dan nadir bumi antara bidang baharu yang terus diperkukuh dalam hubungan Malaysia dan Turkiye, sekali gus membuka ruang kerjasama lebih luas antara kedua-dua negara.

Memuatkan artikel berkaitan…

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Turkiye merupakan rakan strategik utama Malaysia dalam pembangunan industri masa depan khususnya dalam bidang teknologi dron yang berpotensi merancakkan kerjasama merentas pelbagai sektor.

Katanya, Turkiye mempunyai kapasiti kukuh dalam industri pertahanan dan pembuatan khususnya dalam pembinaan berskala besar sekali gus membuka peluang kerjasama lebih luas dengan rakan industri dari Malaysia.

“Perkembangan itu dapat dilihat apabila kedua-dua negara memanfaatkan dengan mengadakan Mesyuarat Kerjasama Strategik Tahap Tertinggi Malaysia-Turkiye.

“Ini satu permulaan menarik kerana tidak banyak negara kita adakan hubungan dua hala seperti itu kerana majis peringkat tertinggi mesti dipengerusikan bersama Presiden Reccep Tayyip Erdogan dan saya.

“Tentunya keputusan itu kita akan laksanakan menteri-menteri yang bertanggungjawab melaksanakan keputusan penting yang strategik,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengakhiri lawatan rasmi ke Turkiye kelmarin.

Menurutnya, hubungan dua hala Malaysia dan Turkiye diteruskan melalui kerjasama pelaburan dan perdagangan melibatkan pelbagai sektor strategik merangkumi pertahanan, tenaga, pembinaan dan teknologi canggih.

“Kita sekali lagi ingin merakamkan penghargaan kepada Presiden dan kerajaan Turkiye seperti mana saksikan sambutannya sangat sekali sebagai sahabat dan penghormatan kepada Malaysia. Beberapa cara sambutan gak luar jangkaan dan diakui ia sebagai satu penghormatan luar biasa kepada Malaysia tercinta,” katanya.

Ketika diminta mengulas mengenai kunjungan rasmi beliau ke makam pengasas Turkiye, Mustafa Kamal Ataturk, Anwar berkata, ia merupakan protokol rasmi yang perlu dipatuhi semua ketua negara malah satu keperluan diplomatik yang telah diamalkan kerajaan terbabit.

Katanya, upacara meletakkan kalungan bunga itu bukanah bersifat pilihan peribadi atau mencerminkan pendirian ideologi mana-mana pemimpin.

“Semua ketua negara yang mengadakan kunjungan rasmi dikehendaki melakukan upacara tersebut. Setuju atau tidak, itulah program rasmi yang telah ditetapkan,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar berkata, Reccep Tayyip menzahirkan keprihatinan terhadap kesihatan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang kini dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) akibat mengalami patah tulang pinggul selepas terjatuh di kediamannya, Selasa lalu.

“Sekiranya keadaan Tun Dr. Mahathir mengizinkan, beliau (Erdogan) mahu menghubungi sendiri agi bertanyakan khabar dan mendoakan kesejahteraan Tun,” katanya.

Selasa lalu, media melaporkan Dr. Mahathir Mohamad dimasukkan ke IJN selepas dilaporkan terjatuh di kediamannya.

Sementara itu, Anwar juga berkesempatan bertemu bekas bintang Arsenal dan Jerman, Mesut Ozil dan berkongsi pandangan berkaitan pelbagai perkara terutamanya isu kemanusiaan sejagat.

“Sebagai selingan santai, perbualan kami turut menyentuh kisah cucu saya yang merupakan penyokong tegar Arsenal, atau The Gunners, satu perkara yang mengundang senyuman beliau,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini