SOALAN
Ibu saya berkahwin dengan duda anak tiga. Saya sering diabaikan adik-beradik dan dapat rasakan mereka tidak menyukai kewujudan saya.
-Adik terluka
JAWAPAN
Mendapat keluarga yang sempurna pastinya menjadi idaman setiap individu. Namun, tidak semua berpeluang merasainya.
Ada yang membesar di rumah sendiri, tetapi tetap berasa seperti orang asing, umpama luka yang tidak berdarah, tetapi pedihnya kekal di hati.
Kasih sayang diharapkan tidak mendapat balasan.
Berikut beberapa tip untuk membantu anda menangani isu ini.
a) Akui luka dirasai – Mengakui kesakitan emosi bukan petanda lemah, sebaliknya ia menunjukkan sikap jujur dengan diri sendiri. Proses penyembuhan bermula apabila anda berani menghadapi luka emosi kerana tidak diterima oleh ahli keluarga sendiri.
b) Jangan salahkan diri- Penolakan atau pengabaian dalam keluarga bukan kerana salah anda. Mungkin cara didikan keluarga asal mereka yang dingin menyebabkan wujud emosi yang tidak selesai. Jangan terlalu memikirkan penerimaan orang lain, sebaliknya, fokuskan tenaga dan perhatian kepada perkara-perkara dalam kawalan anda.
c)Berhenti tunggu penerimaan – Mengharapkan penerimaan orang yang tidak mampu memberi hanya menambah luka. Melepaskan harapan bukan bermakna anda membenci, tetapi memilih untuk melindungi hati daripada terus terluka.
d) Belajar mengawal emosi – Hidup dalam keluarga yang kurang perhatian kadangkala membuat hati mudah tersentuh. Belajar mengurus emosi dapat membantu anda lebih tenang dan tidak terlalu terbeban.
e) Fokus pada diri – Sibukkan diri dengan memberi kasih sayang pada diri sendiri. Kurangkan memerhati atau membandingkan diri dengan adik-beradik lain supaya hati lebih tenang. Dengan mengurangkan tumpuan pada masalah orang lain, anda dapat memberi ruang kepada diri untuk berkembang.
f)Dapatkan sokongan – Jangan tanggung semua perasaan sendiri. Luahkan pada kaunselor atau seseorang yang dipercayai. Berkongsi dapat meringankan hati, mengurangkan beban emosi, membantu kekal yakin dan dapat menjaga keharmonian dengan orang sekeliling.
Belajar fokus pada diri sendiri kerana anda berhak menjalani kehidupan dengan tenang, walaupun penerimaan itu tidak datang daripada mereka yang sepatutnya anda terima.










