Bantuan sekolah: Jangan adili, gunakan dengan bijak

Bantuan sekolah: Jangan adili, gunakan dengan bijak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIAP kali musim persekolahan baharu bermula, isu Bantuan Awal Persekolahan (BAP) pasti menjadi topik perbualan.

Tahun 2026 tidak terkecuali. Selain perbahasan tentang bila bantuan ini patut disalurkan, muncul juga pandangan yang menyatakan ibu bapa tidak seharusnya bergantung sepenuhnya kepada BAP untuk menyediakan keperluan sekolah anak-anak.

Sebaliknya, mereka digalakkan menyimpan wang lebih awal sebagai persediaan.

Pada satu sudut, pandangan ini kedengaran munasabah. Keperluan sekolah bukan perkara baharu atau mengejut.

Setiap tahun ibu bapa tahu anak-anak memerlukan pakaian seragam, kasut, buku dan alat tulis.

Jika ada lebihan rezeki, menyimpan sedikit demi sedikit sepanjang tahun memang langkah bijak. Ia bukan sahaja mengurangkan tekanan ketika sekolah dibuka, malah membantu keluarga lebih teratur dari segi kewangan.

Namun, realitinya tidak semua keluarga berada dalam keadaan yang sama. Ada ibu bapa yang pendapatannya cukup-cukup makan, malah ada yang terpaksa memilih antara keperluan dapur dan keperluan sekolah.

Dalam situasi begini, sukar untuk bercakap soal simpanan awal. Bagi mereka, BAP bukan soal mahu bergantung atau tidak, tetapi soal mampu atau tidak menyediakan keperluan asas pendidikan anak-anak.

Sebab itu, apabila ada yang mengatakan BAP tidak perlu dijadikan sandaran, kita perlu melihatnya dengan lebih empati. Bagi keluarga yang stabil dari segi kewangan, bantuan ini mungkin sekadar tambahan.

Tetapi bagi golongan berpendapatan rendah, ia menjadi kelegaan besar, walaupun jumlahnya tidak seberapa.

Sebenarnya, BAP tidak seharusnya dilihat sebagai jalan mudah atau alasan untuk tidak merancang kewangan.

Pada masa yang sama, ia juga tidak wajar dianggap sebagai budaya kebergantungan semata-mata. Bantuan ini hadir sebagai sokongan, bukan pengganti tanggungjawab ibu bapa.

Pendekatan paling seimbang ialah menerima hakikat bantuan dan perancangan perlu berjalan seiring.

Kerajaan terus membantu mengikut kemampuan, manakala ibu bapa pula digalakkan merancang sedaya yang mungkin mengikut keadaan masing-masing.

Paling penting, jangan sampai perbezaan pandangan ini membuatkan kita lupa tujuan utama iaitu memastikan anak-anak dapat memulakan sesi persekolahan dengan tenang dan lancar.

-Adlinahani Khalil ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×