Tugas berat Delcy Rodriguez pimpin Venezuela

Tugas berat Delcy Rodriguez pimpin Venezuela

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DELCY Rodriguez menjadi tumpuan media di seluruh dunia sejak minggu lalu selepas beliau mengangkat sumpah jawatan sebagai Presiden Interim Venezuela, tugas berat yang digalas ketika negara itu berdepan ketidaktentuan akibat penggulingan mengejutkan oleh Amerika Syarikat (AS).

Kekosongan kuasa tercetus di Venezuela selepas Presidennya, Nicolas Maduro diculik dan dihadapkan ke mahkamah di New York untuk berdepan pertuduhan berkaitan jenayah dadah.

Rodriguez, anak jati Caracas yang dilahirkan pada 18 Mei 1969 ini merupakan anak kepada pejuang pemberontak berhaluan kiri, Jorge Antonio Rodriguez, pengasas Parti Liga Sosialis pada 1970-an.

Bapanya terbunuh ketika diseksa dalam tahanan polis pada 1976, satu jenayah menggemparkan ramai aktivis ketika itu, termasuk Maduro yang masih muda.

Abangnya, Jorge Rodriguez, kini memegang jawatan penting dalam kerajaan sebagai Ketua Parlimen Venezuela.

Rodriguez, 57, merupakan peguam yang menamatkan pengajian di Universiti Pusat Venezuela dan meningkat naik dengan pantas dalam hierarki politik sepanjang dekad lalu.

Beliau turut mempunyai sejarah panjang mewakili apa yang digelar mendiang Presiden, Hugo Chavez sebagai revolusi sosialis di pentas antarabangsa.

Rodriguez juga dikenali sebagai ‘orang lama’ dalam pentadbiran Venezuela, pernah berkhidmat sebagai Menteri Komunikasi dan Maklumat dari 2013 hingga 2014, Menteri Luar dari 2014 hingga 2017, serta mengetuai Perhimpunan Perlembagaan pro-kerajaan pada 2017, yang memperluaskan kuasa Maduro.

PENGARUH EKONOMI
Namun, Rodriguez kadangkala dilihat lebih sederhana berbanding ramai bekas anggota tentera yang mengangkat senjata bersama Chavez pada 1990-an.

Peranannya sebagai Menteri Kewangan dan Menteri Petroleum yang dipegang serentak dengan jawatan Naib Presiden sebelum ini menjadikannya tokoh utama dalam pengurusan ekonomi Venezuela.

Pengalaman luas itu turut memberinya pengaruh besar terhadap sektor swasta negara yang semakin lemah.

Malah, beliau melaksanakan dasar ekonomi ortodoks bagi membendung hiperinflasi.

Maduro menambah portfolio Kementerian Petroleum kepada Rodriguez pada Ogos 2024, dengan tanggungjawab mengurus kesan sekatan AS yang semakin meningkat terhadap industri terpenting Venezuela itu.

“Kedudukan tinggi beliau dalam kerajaan inilah yang berkemungkinan menjadikan rundingan semakin menarik bagi AS,” kata wartawan berpangkalan di Caracas, Sleither Fernandez kepada Al Jazeera.

Rodriguez membina hubungan kukuh dengan tokoh Republikan dalam industri minyak AS dan Wall Street, yang menentang idea perubahan kerajaan Venezuela dipimpin AS.

Antara individu yang pernah berunding dengannya termasuk pengasas syarikat keselamatan Blackwater, Erik Prince, dan baru-baru ini Richard Grenell, utusan khas Presiden Donald Trump yang cuba merundingkan perjanjian dengan Maduro bagi memperluas pengaruh AS di Venezuela.

DIGELAR HARIMAU
Walaupun sering dianggap lebih sederhana, Maduro pernah menggelar Rodriguez sebagai ‘harimau’ kerana mempertahankan kerajaan sosialisnya tanpa kompromi.

Ketika beliau dilantik sebagai Naib Presiden pada Jun 2018, Maduro menyifatkannya sebagai seorang wanita muda berani, berpengalaman, anak kepada seorang pejuang, revolusioner dan teruji dalam seribu pertempuran.

Selepas penculikan menggemparkan dunia pada Sabtu lalu, Rodriguez menuntut kerajaan AS mengemukakan bukti Maduro dan isterinya, Cilia Flores, masih hidup serta secara terbuka mengecam tindakan AS.

“Kami menyeru rakyat tanah air agung ini untuk terus bersatu kerana apa yang dilakukan terhadap Venezuela boleh dilakukan terhadap sesiapa sahaja.

“Penggunaan kekerasan secara kejam untuk mematahkan kehendak rakyat boleh dilakukan terhadap mana-mana negara,” katanya dalam ucapan yang disiarkan televisyen kerajaan VTV.

Selepas AS bertindak merampas hasil minyak Venezuela, mata masyarakat antarabangsa kini tertumpu pada setiap langkah, keputusan mahu pun kenyataan dibuat Rodriguez, ketika dunia terus tertanya mampukah beliau menjamin kesinambungan pentadbiran dan mempertahankan kepentingan negara serta rakyatnya tanpa pertumpahan darah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×