MARANG: Pas kekal dengan pendirian tidak menyertai barisan Exco Kerajaan Negeri Perlis meskipun dipelawa Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, parti itu tidak berganjak dengan keputusan tidak menerima jawatan tersebut walaupun dipelawa kerana menganggap tindakan ahli dewan undangan negeri (ADUN) menjatuhkan kerajaan sebagai satu pengkhianatan.
“Sudah buat keputusan, tidak terima,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan kuliah duha di Masjid Rusila, di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Abu Bakar yang tetap mempelawa ADUN menyertai barisan Exco dibentuknya, walaupun parti itu mengarahkan wakil rakyatnya tidak berbuat demikian.
Abu Bakar dilapor mengutus surat kepada Abdul Hadi bagi tujuan berkenaan. – UTUSAN











