5 sekolah dibadai ribut siap dibuka

Lima sekolah dibadai ribut siap dibuka

PEKERJA membaik pulih pendawaian susulan rosak akibat dibadai ribut dan puting beliung dekat SK Kampung Medan, Sijangkang di Kuala Langat, Selangor, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Lebih 5,000 pelajar membabitkan lima buah sekolah dekat Sijangkang, di sini yang rosak teruk akibat dibadai ribut dan puting beliung dijangka kembali memulakan sesi persekolahan 2026 pada 12 Januari ini.

Kesemua terlibat adalah pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sijangkang Jaya, SK Kampung Medan, SK Jalan Tanjung serta Sekolah Rendah Agama (SRA) Kampung Medan.

Tinjauan Utusan Malaysia di sekolah-sekolah tersebut mendapati proses baik pulih struktur asas seperti bumbung yang sebelum ini musnah, dilihat sudah pun siap, namun terdapat kerja-kerja pemulihan lain se­perti pendawaian dan cat masih berjalan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kesan dialami bukan sahaja melibatkan bumbung, sebaliknya terdapat kerosakan pada struktur lain seperti lantai dan dinding yang perlu disimen serta dicat semula, sementara tingkap dan pendawaian elektrik pula diganti baharu.

Bagaimanapun, kerja baik pulih itu dijangka dapat diselesaikan dalam minggu ini sebelum penyerahan semula bangunan sekolah oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) kepada Kementerian Pendidikan bagi memulakan sesi persekolahan pada Isnin depan.

Ibu bapa ketika ditemui berharap, sesi persekolahan secara bersemuka di kesemua sekolah berkenaan dapat berjalan seperti biasa pada minggu hadapan supaya murid boleh kembali fokus kepada pembelajaran.

Menurut ibu murid Tahun 5, Herfiza Samsun, 40, kaedah Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR) agak mencabar terutama bagi ibu bapa yang bekerja namun dalam masa sama perlu membantu anak mengikut pembelajaran dalam talian.

“Saya seorang ibu yang bekerja dan dalam masa sama perlu membantu anak mengikut PdPR. Kerap kali terpaksa bawa dia bersama ke pejabat supaya dia dapat memberikan tumpuan.

“Namun, saya juga dapati dia tidak dapat memahami dengan betul perkara yang dipelajarinya walaupun mengikuti sepenuhnya sesi tersebut. Sebab itu berharap sekolah kembali dibuka walaupun belum terima sebarang makluman rasmi daripada pengurusan sekolah,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Seorang bapa murid Tahun 1, Hazrimi Omar, 34, dia bimbang anaknya kurang berminat mengikuti PdPR Pra Sekolah yang berakhir pada 19 Disember lalu.

“Ketika itu guru-guru amat membantu dengan menyediakan modul dan bahan pembelajaran. Cuma saya lihat anak saya kurang motivasi dan mahu datang ke sekolah.

“Dia lebih bersemangat bila hadir ke sekolah. Saya lihat anak saya lebih seronok belajar bersama kawan-kawan,” ujarnya.

Utusan Malaysia pada Oktober lalu melaporkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memberitahu kerja-kerja pembaikan bagi sekolah-sekolah terjejas melibatkan kos sebanyak RM10.1 juta yang diluluskan oleh Kementerian Pendidikan.

Namun, peruntukan tersebut hanya melibatkan pembinaan semula melibatkan struktur terutama pada bahagian bumbung dan tidak termasuk kos pendawaian elektrik serta perala­tan-peralatan yang rosak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×