PETALING JAYA: Misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla 2.0 (GSF 2.0) ke Gaza disasar melibatkan penyertaan lebih 100 kapal dan kira-kira 3,000 sukarelawan dari 60 negara berbanding 45 negara pada edisi pertama sebelum ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman berkata, berbeza dengan misi terdahulu, GSF 2.0 tidak digerakkan atas kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sebaliknya berteraskan penyertaan negara-negara dari seluruh dunia sebagai satu tekanan antarabangsa yang lebih tersusun.
“Untuk GSF 2.0, kami menyasarkan penyertaan global melibatkan negara-negara dari seluruh dunia. Anggaran awal melibatkan lebih 100 kapal dan lebih 3,000 sukarelawan, namun angka sebenar masih belum dimuktamadkan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Menurut beliau, di bawah gerakan Sumud Nusantara penyertaan negara terlibat dijangka meningkat dengan ketara apabila sebanyak 20 negara baharu disasarkan untuk bersama-sama menyertai misi berkenaan.
Katanya, misi kali ini turut menyasarkan penglibatan pelbagai lapisan profesional termasuk doktor, pengamal media, tokoh masyarakat, ahli politik, jurutera, pakar binaan, pensyarah serta tenaga pengajar bagi menyokong usaha pembangunan semula Gaza.
“GSF bukan sekadar membawa bantuan kemanusiaan, tetapi memberi tumpuan kepada keperluan jangka panjang termasuk pembangunan fizikal dan pembangunan sumber manusia rakyat Gaza,” katanya.
Muhammad Nadir berkata, setakat ini belum ada pengumuman rasmi sokongan mana-mana kerajaan terhadap misi itu, namun beberapa negara yang konsisten menyokong isu Palestin termasuk Sepanyol telah memberi isyarat sokongan logistik.
“Sepanyol memberi ruang kepada kita untuk menggunakan pelabuhan mereka sekali lagi, yang menunjukkan sokongan berterusan terhadap usaha membantu Palestin,” katanya.
Mengulas aspek keselamatan, beliau berkata, pihak penganjur kini sedang menggerakkan usaha diplomatik di peringkat antarabangsa bagi mendapatkan perlindungan ke atas kapal-kapal yang terlibat.
“Usaha sedang berjalan untuk memastikan perlindungan antarabangsa diberikan dan tekanan terus dikenakan kepada kerajaan-kerajaan dunia agar laluan ke Gaza dibuka sama ada secara sukarela atau melalui tekanan diplomatik,” katanya.
September lalu, misi Global Sumud Flotilla pertama berjaya menghimpunkan penyertaan dari 45 negara termasuk 34 sukarelawan Malaysia dalam usaha menembusi sekatan laut Gaza bagi menyalurkan bantuan kemanusiaan. – UTUSAN











