Negara membangun perlukan rangka strategik tanpa ikut telunjuk kuasa besar

Negara membangun perlukan rangka strategik tanpa ikut telunjuk kuasa besar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, masa depan sesebuah negara perlu ditentukan sendiri dan tidak semestinya perlu terikat kepada telunjuk kuasa besar termasuk Amerika Syarikat (AS) atau China.

Beliau berkata, negara sebaliknya memerlukan rangka strategik yang seimbang, berprinsip dan berpaksikan kepentingan nasional dan serantau.

“Penting bagi negara membangun yang ekonomi sedang pesat membangun menyedari bahawa masa depannya tidak semestinya terikat kepada telunjuk kuasa besar, sama ada AS atau China,” katanya ketika berucap dalam sesi Syarahan Umum bertajuk ‘Peralihan Kuasa: Pilihan Strategik bagi Malaysia dan Turkiye’ di Ankara Turkiye, hari ini.

Menurut Anwar, pendekatan yang diambil oleh Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, adalah selari dengan pendirian Malaysia dalam ASEAN, termasuk ketika negara ini mempengerusikan pertubuhan serantau itu tahun lalu.

“Ia adalah pendirian strategik untuk terbabit secara agresif dan aktif demi manfaat negara dan rantau kita, dengan membina hubungan kukuh dengan Amerika Syarikat dan China. Pada masa yang sama memahami dan menerima hakikat bahawa rantau kita, khususnya Asia Tenggara, mempunyai potensi yang amat besar untuk bekerjasama secara berkesan dalam perdagangan, pelaburan dan semua bidang berkaitan,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar berkata, Malaysia turut memberi penekanan kepada pembukaan pasaran baharu sebagai langkah memperkukuh daya tahan ekonomi negara dalam menghadapi ketidaktentuan global.

Malaysia, katanya, seperti Turkiye dalam konteks serantau dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), kekal menyokong Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai asas kepada sistem pelbagai hala yang berkesan.

Namun pada masa sama, katanya, Malaysia bersedia menyertai inisiatif baharu yang mampu memperkukuh jaringan perdagangan serta kerjasama ekonomi.

“Sebab itulah kami menyertai inisiatif baharu yang dapat meluaskan hubungan dalam penjajaran perdagangan baharu seperti BRICS, dan apa-apa bentuk pengukuhan rangkaian negara Dunia Ketiga,” katanya.

Anwar turut menyifatkan BRICS (Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan) sebagai platform penting dalam membina kerjasama dan pakatan baharu yang berpotensi memberi manfaat jangka panjang kepada negara membangun.

“Saya menyebut secara khusus BRICS kerana saya, seperti ramai orang lain, berasa teruja dan menyokong keperluan untuk membina kerjasama baharu dan pakatan baharu yang akan memberi manfaat kepada kita,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×