BANGI: Persidangan Ekonomi Halal Antarabangsa (IHEC) 2026 menyasarkan lebih RM500 juta melalui peluang perdagangan, pemadanan perniagaan dan pelaburan berterusan, sekali gus menandakan peralihan persidangan itu kepada pendekatan lebih berimpak dan berorientasikan hasil sebenar ekonomi halal.
IHEC 2026 akan berlangsung pada 3 dan 4 Februari ini sebagai platform strategik yang menghimpunkan pakar-pakar ekonomi, pembuat dasar, tokoh industri, ahli akademik, pelabur serta pemain utama ekosistem halal dari dalam dan luar negara.
Pengarah Program, Datuk Seri Abdul Rani Osman berkata, seiring dengan perkembangan teknologi semasa, persidangan ini turut mengintegrasikan elemen kecerdasan buatan (AI) dan blockchain bagi memastikan industri halal kekal relevan dan berdaya saing di peringkat global.
“IHEC 2026 turut menghimpunkan penceramah serta delegasi antarabangsa dari beberapa negara termasuk Indonesia, Kemboja, Singapura dan negara-negara Afrika, sama ada sebagai peserta persidangan mahupun penerima anugerah halal.
“Persidangan ini memberi tumpuan kepada trend pasaran global dan dinamik pengguna, dengan fokus khusus pada halal antarabangsa di ASEAN, Majlis Kerjasama Teluk (GCC), Eropah, China dan Afrika.
“Sepanjang dua hari persidangan, 14 panel jemputan akan berkongsi kepakaran masing-masing dalam bidang ekonomi dan sektor berkaitan termasuk perdagangan antarabangsa, pensijilan dan tadbir urus halal, kewangan Islam, digitalisasi, logistik serta peluang pelaburan global,” katanya kepada pemberita selepas Sidang Media IHEC 2026 di sini, semalam.
IHEC 2026 tidak hanya tertumpu kepada wacana akademik, sebaliknya memberi fokus kepada penciptaan nilai ekonomi secara langsung termasuk peluang perdagangan, pemadanan perniagaan, pelaburan serta pembangunan piawaian antarabangsa.
Abdul Rani berkata, sebanyak 18 negara telah mengesahkan penyertaan pada IHEC 2026 dan dijangka menjadi platform strategik dalam memperkukuh kerjasama ekonomi halal di peringkat global.
Sementara itu, Penaung merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur IHEC 2026, Tan Sri Dr. Yusof Md. Noor berkata, IHEC 2026 bakal menghimpunkan penceramah dan peserta antarabangsa termasuk dari Indonesia, Kemboja, Singapura serta beberapa negara Afrika.
“Selain persidangan, acara ini turut menganjurkan penganugerahan halal kepada pemain industri terpilih dari dalam dan luar negara.
“Lebih 20 Anugerah Halal Antarabangsa kepada tokoh dan organisasi yang mencatat pencapaian cemerlang serta menunjukkan kepimpinan dan inovasi luar biasa dalam bidang masing-masing,” katanya.
Persidangan ini turut merangkumi sesi pleno peringkat tinggi, panel eksekutif, dialog dasar, pemadanan perniagaan dan jaringan strategik yang dirangka untuk menghasilkan impak ekonomi dan dasar yang nyata. – UTUSAN











