Pengasingan kuasa mendakwa libatkan pindaan lebih 20 akta

Pengasingan kuasa mendakwa libatkan pindaan lebih 20 akta

YAACOB MD. SAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sekurang-kurangnya 20 undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda ekoran pelaksanaan pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Rakya yang dijangka dibentangkan pada sesi Parlimen 19 Januari ini.

Bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Yaacob Md. Sam berkata, kuasa mendakwa yang sedia ada di bawah Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan dan akta lain telah menyebut bahawa Peguam Negara juga merupakan Pendakwa Raya.

Katanya, justeru itu kedudukan dua fungsi utama itu menyebabkan peranan Pendakwa Raya dan Peguam Negara berlaku pertindihan dalam menjalankan tugas secara bebas tanpa campur tangan Eksekutif. 

Memuatkan artikel berkaitan…

“Hal ini kerana Peguam Negara adalah penasihat undang-undang utama kerajaan dalam semua isu melibatkan perundangan dalam dan luar negara. Pendakwa Raya pula berkuasa penuh mengendalikan semua jenis kes jenayah di negara kita. 

“Pengasingan fungsi dan kuasa pendakwaan tersebut adalah wajar untuk mengelakkan persepsi yang terbentuk seolah-olah Pendakwa Raya menjalankan fungsinya atas arahan dan pengaruh eksekutif khususnya Kabinet, Perdana Menteri dan Kerajaan,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Se­ri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan akan meneruskan beberapa agenda reformasi antaranya pemisahan kuasa Pendakwa Raya dan Peguam Negara, had tempoh jawatan Perdana Menteri, penubuhan institusi Ombudsman dan peng­gubalan Akta Kebebasan Maklumat.

Yaacob berkata, pemisahan kuasa dan fungsi dua tugas itu memastikan Peguam Negara tidak lagi dapat mencampuri urusan kes-kes jenayah dan pendakwaan kes-kes jenayah yang telah menjadi kuasa mutlak Pendakwa Raya. 

“Agenda itu merupakan perubahan struktural fundamental yang material kepada sistem keadilan jenayah di negara kita seperti yang diamalkan oleh beberapa negara Komonwel lain seperti United Kingdom.

“Bagaimanapun, pemisahan kuasa ini tidak melibatkan sebarang semakan semula kes-kes jenayah yang telah selesai di mahkamah negara ini,” katanya.

Dalam pada itu, Yaacob berkata,  penubuhan institusi Ombudsman dapat membantu negara dan masyarakat menyelesaikan isu birokasi serta penguatkuasaan undang-undang baik di pelbagai peringkat pentadbiran negara.

“Penubuhan Ombudsman sebagai sebuah badan bebas menerima pengaduan orang awam dalam segala isu berkaitan pentadbiran awam dan penguatkuasaan undang-undang adalah satu angkah baik.

“Difahamkan bahawa Ombudsman ini nanti akan menggabungkan perananan yang dimainkan oleh Biro Pengaduan Awam dan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC).

 “Apa diharapkan adalah institusi itu mampu lebih efektif dan segera terhadap aduan-aduan diterima dan dapatan siasatan serta perakuan-perakuan Ombudsman mengikat untuk dilaksanakan oleh pihak-pihak terlibat dengannya,” ujarnya.

Beliau berkata, pembentangan Akta Kebebasan Maklumat dapat menyokong dua lagi akta lama berkuatkuasa tetapi kurang diberikan perhatian iaitu Akta Pemberi Maklumat dan Akta Perlindungan Saksi. 

“Akta Kebebasan Maklumat ini akan dapat mewujudkan situasi ketelusan terutama dalam isu-isu berkaitan pembangunan polisi dan pelaksanaan dasar serta agenda pentadbiran kerajaan. 

“Bagaimana pun ia masih perlu dibaca bersama dengan Akta Rahsia Rasmi yang menghadkan pendedahan maklumat kepada awam yang disenaraikan di bawah jadual Akta Rahsia Rasmi. 

“Adalah diharapkan dengan adanya akta tersebut, pihak kerajaan dan agensinya tidak terlalu semberono atau berlebihan dalam mengklasifikasi maklumat dan dokumen kerajaan atau agensinya sebagai maklumat sulit atau rahsia,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×