Penguatkuasaan longgar punca penipuan umrah berleluasa

Penguatkuasaan longgar punca penipuan umrah berleluasa

RAZALI MOHD. SHAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Undang-undang sedia ada sebenarnya sudah mencukupi menangani kes penipuan umrah, namun kegagalan penguatkuasaan yang tegas telah membuka ruang kepada pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan terhadap jemaah.

Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (Papuh), Datuk Seri Razali Mohd. Sham berkata, penipuan umrah boleh dicegah di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang sebenarnya memang sudah wujud, cumanya tidak dikuatkuasakan.

“Sepatutnya jika didapati bersalah, dakwa sahaja. Jadi langkah ini memang bagus dan wajar dilaksanakan. Jadi bila dah jadi kes jenayah sebegini, tangkaplah ejen yang buat pakej pelancongan tapi tiada lesen.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kami menyokong penuh gesaan kerajaan menggunakan Seksyen 420 Kanun Keseksaan bagi membanteras penipuan pakej umrah yang dilihat masih gagal dibendung akibat kelemahan penguatkuasaan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Sebelum ini, Penasihat Undang-undang Pertubuhan Mesra Pengguna Malaysia (PMPM), Nik Saiful Adli Burhan berkata, kerajaan digesa menggunakan Seksyen 420 Kanun Keseksaan bagi membanteras penipuan pakej umrah susulan kes terbaharu membabitkan 36 jemaah Malaysia terkandas di Arab Saudi. 

Katanya, kes berkenaan jelas mempunyai elemen penipuan jenayah, namun sering diklasifikasikan sebagai pertikaian sivil, sekali gus memberi ruang kepada pihak tidak bertanggungjawab terus menganiaya jemaah.

Dalam pada itu, Razali berkata, antara punca utama kes jemaah terkandas di luar negara adalah kewujudan pakej umrah yang ditawarkan pada harga terlalu murah dan tidak munasabah, sedangkan kos sebenar menunaikan umrah kini semakin meningkat.

“Kos menunaikan umrah semasa mencecah RM7,000. Sekarang kos tiket penerbangan dan visa sahaja sudah lebih RM4,000. Jadi bagaimana boleh wujud pakej RM4,000 atau RM5,000, itu memang tidak logik dan jelas berunsur penipuan,” katanya.

Razali berkata, kos penginapan di Mekah dan Madinah meningkat berkali ganda berbanding sebelum ini, sekali gus menafikan kemampuan mana-mana agensi sah untuk menawarkan pakej murah tanpa menjejaskan kebajikan jemaah.

“Sekarang kos bilik naik mendadak di Mekah dan Madinah boleh mencecah RM800 ke atas. Meskipun kos naik mendadak, namun jemaah kita konsisten sebanyak 300,000 jemaah pada setahun,” katanya.

Razali berkata, kebanyakan pakej umrah kini diuruskan sendiri oleh pelancong dan tidak melalui ejen pelancongan berlesen.

Beliau berkata,  tidak semua kes melibatkan agensi pelancongan berlesen, sebaliknya ada pihak menjalankan urusan umrah tanpa lesen termasuk secara persendirian sekali gus menyukarkan tindakan penguatkuasaan.

“Agensi berlesen diwajibkan mengambil insurans perjalanan. Saya rasa kebanyakan jemaah yang terkandas ini mereka tiada insurans. Bila berlaku kes dan tiada perlindungan insurans, itu menunjukkan mereka (ejen) memang sudah melanggar akta. Kalau ada insurans, sekurang-kurangnya jemaah ada jaminan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×