LONDON: Gambar-gambar memalukan kanak-kanak dan wanita yang dibuang pakaian secara digital oleh Grok AI masih terus dikongsi di platform X milik hartawan, Elon Musk, walaupun platform tersebut berjanji akan menggantung pengguna yang menghasilkan imej tersebut.
Kebimbangan timbul mengenai penggunaan bot perbualan itu untuk mengubah foto bagi menghasilkan gambar seksual wanita dan kanak-kanak sebenar yang hanya berbaju dalam tanpa persetujuan mereka.
Susulan itu, pengawal komunikasi UK, Ofcom, pada Isnin berkata, mereka segera menghubungi X dan xAI untuk memahami langkah-langkah yang telah diambil bagi mematuhi undang-undang perlindungan pengguna di UK.
Ofcom menambah, mereka akan menilai sama ada penyiasatan diperlukan berdasarkan respons syarikat itu.
Sementara itu, ahli politik dan pejuang hak wanita menuduh kerajaan UK ‘terlambat’ kerana gagal menguatkuasakan undang-undang yang diluluskan enam bulan lalu. Undang-undang itu menjadikan penciptaan imej intim sedemikian sebagai haram.
Trend yang tular sejak tahun baharu itu juga mendorong Suruhanjaya Eropah melihat dengan serius aduan bahawa Grok digunakan untuk menjana dan menyebarkan imej lucah yang menyerupai kanak-kanak.
Kebimbangan mula timbul selepas kemas kini Grok pada Disember menjadikannya lebih mudah untuk pengguna menyiarkan foto dan meminta pakaian dalam foto tersebut ditanggalkan.
Walaupun laman web itu tidak membenarkan ketelanjangan sepenuhnya, ia membenarkan pengguna meminta imej diubah untuk menunjukkan individu dalam pakaian dalam yang kecil dan mendedahkan, serta dalam gaya yang bersifat seksual.
Pada Ahad dan Isnin, pengguna Grok didapati masih terus menjana gambar bersifat seksual kanak-kanak bawah umur, dengan imej kanak-kanak serendah usia 10 tahun dihasilkan semalaman.
Ashley St Clair, ibu kepada salah seorang anak Musk, mengadu alat AI itu menjana gambar beliau ketika berusia 14 tahun dalam bikini.
Gambar pelakon Stranger Things, Nell Fisher, 14, juga dimanipulasi oleh Grok pada Ahad bagi meletakkannya dalam bikini bercorak pisang. Ramai wanita meluahkan kemarahan di X selepas mendapati imej mereka telah ‘bogelkan’ tanpa persetujuan mereka.
Beberapa gambar wanita dan kanak-kanak yang dimanipulasi oleh alat AI itu kelihatan mempunyai bahan menyerupai air mani yang disapukan pada muka dan dada mereka. -AGENSI










