KUALA TERENGGANU: Rundingan antara Kerajaan Negeri Terengganu dan Felda berhusung isu ladang diusahakan FGV Holdings Bhd. (FGV) akhirnya menemukan jalan penyelesaian.
Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Datuk Zulkifli Ali berkata, rundingan itu diadakan beberapa kali termasuk yang terakhir semalam.
“Semuanya sudah selesai dan saya percaya ia adalah perkara positif,” katanya ketika ditemui pada Majlis Persaraan Setiausaha Kerajaan Negeri, di sini hari ini.
Zulkifli bersara wajib pada 9 Januari ini selepas 34 tahun dan 11 bulan berkhidmat sebagai penjawat awam.
Zulkifli berkata, kenyataan penuh berhubung perkara berkenaan dibuat oleh Pengerusi Jawatankuasa Task Force Penyelesaian Tanah Felda Terengganu, Datuk Dr. Azman Ibrahim dalam masa terdekat.
Terdahulu, kerajaan negeri bersetuju melanjutkan tempoh remedi berhubung Notis Amaran Pendudukan Secara Tidak Sah mengikut Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (Notis 425 KTN) sehingga esok.
Dalam tempoh remedi yang dilanjutkan itu, perbincangan ke arah memuktamadkan terma dan syarat perjanjian diadakan.
Tempoh remedi merujuk kepada memperbetul keadaan yang memberi FGV peluang untuk mengalihkan aset mereka sebelum sebarang tindakan sitaan diambil.
Tempoh yang sepatutnya berakhir 7 Disember lalu itu adalah supaya FGV mengalihkan aset dan mengosongkan premis di ladang-ladangnya seluas kira-kira 15,000 hektar berikutan tindakan penguatkuasaan undang-undang penyampaian Notis Amaran Pendudukan Secara Tidak Sah mengikut Seksyen 425 KTN pada 30 November lalu.
Notis yang dikeluarkan bagi kesalahan di bawah Seksyen 425 KTN akan ditarik balik sebaik sahaja satu perjanjian muktamad ditandatangani antara kerajaan negeri dan Felda. – UTUSAN











