Kementerian Pendidikan perlu berani letak sasaran

Kementerian Pendidikan perlu berani letak sasaran

ANUAR AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu berani meletakkan sasaran bahawa sistem pendidikan negara mestilah berada di atas purata antarabangsa khususnya dalam kedudukan Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (PISA) dan Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) akan datang.

Menggariskan tiga isu utama yang perlu diberi fokus pada tahun ini, Pakar Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, KPM perlu ada jalan penyelesaian dalam isu kedudukan PISA dan TIMSS, salah laku dan pelanggaran moral murid semakin kritikal dan kemerosotan kemasukan pelajar aliran Sains Tulen (STEM A).

Katanya, KPM perlu menjadikan 2026 sebagai tahun untuk benar-benar menjayakan kualiti pendidikan negara dengan sekurang-kurangnya meletakkan sasaran untuk sistem pendidikan mesti berada di atas purata antarabangsa di dalam kedudukan PISA dan TIMSS yang akan datang.

“Kalau tidak berani letak sasaran, eloklah letak jawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Anuar berkata, beliau hanya mampu merumuskan bahawa pencapaian pendidikan negara sepanjang tahun 2025 lalu berada pada gred B kerana pada hematnya, sistem sedia ada masih belum mencapai tahap memuaskan bahkan banyak isu dibangkitkan sepanjang tahun lalu masih belum ada penyelesaian yang menyakinkan.

“Ironi apabil kita melihat jumlah perbelanjaan negara untuk pendidikan berbanding negara-negara serantau. Kita akan dapati Malaysia adalah negara yang paling konsisten menyediakan peratus peruntukan tertinggi untuk pendidikan mengikut Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Maksudnya, iltizam dan komitmen kewangan kerajaan untuk memajukan sistem pendidikan negara sejak dahulu jelas sekali. Malangnya, di peringkat pelaksanaan pendidikan, negara kita masih ‘terperangkap’ dengan amalan lama dan fokus peningkatan kualiti pendidikan yang kurang menyakinkan.

“Buktinya, keputusan PISA sejak 2009 telah menunjukkan pencapaian Malaysia masih di bawah purata antarabangsa. Tidak pernah pencapaian negara kita melepasi pencapaian purata antarabangsa. Malah sebenarnya tidak banyak meningkat sejak 15 tahun yang lalu. Banyak berbelanja, malangnya produktiviti tidak banyak berubah,” katanya.

Beliau berkata, senario sistem pendidikan di negara jauh berbeza dengan apa yang berlaku di Singapura yang memperuntukkan belanjawan lebih rendah berbanding KDNK negara tersebut namun mencapai tahap kualiti pendidikan sangat cemerlang.

“Ini membuktikan satu perkara. Kita sedang berhadapan dengan isu penyampaian dan pelaksanaan yang kurang berkesan. Iltizam sahaja yang tinggi, dasar pendidikan sahaja yang hebat tetapi di peringkat penyampaian dan pelaksanaan nampaknya masih tidak berkesan, sebab itu sistem pendidikan kita tetap ketinggalan di peringkat antarabangsa,” katanya.

Anuar berkata, negara berhadapan dengan isu pelaksanaan pendidikan yang kurang berkesan dan itu sepatutnya menjadi fokus utama KPM pada tahun ini.

Tambahnya, selain itu, sistem pendidikan negara berhadapan isu lain iaitu salah laku dan pelanggaran moral murid yang semakin kritikal termasuk isu kesihatan mental di kalangan remaja.

“Sangat jelas kepada kita bahawa amalan, garis panduan, aturan disiplin yang dilaksanakan melalui sistem pendidikan sekarang perlu kepada kerangka baharu. Prosedur hukuman, kaunseling dan kolaborasi ibu bapa dan guru-guru perlu kepada pendekatan yang lebih baik dan berkesan untuk mengurus isu salah laku murid-murid.

Pada masa sama, katanya, negara juga sedang berhadapan dengan kemerosotan kemasukan pelajar aliran Sains Tulen (STEM A) disebabkan minat pelajar terhadap subjek sains dan matematik semakin merosot saban tahun.

Katanya, isu ini akan memberi kesan langsung kepada penyediaan sumber manusia negara berkemahiran tinggi untuk tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang.

“Jangan bertangguh untuk meningkatkan sebanyak mungkin murid-murid aliran sains tulen. Masa tidak menyebelahi kita. Berdasarkan laporan SEA-PLM 2025, negara serantau yang lain seperti Laos dan Kemboja sedang menunjukkan prestasi yang jauh lebih baik dalam pencapaian sains dan matematik berbanding negara kita.

“Pencapaian sains dan matematik anak-anak di Singapura dan Vietnam pulan memang sudah lama di hadapan kita,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×