SEREMBAN: Otafuku Sauce, jenama sos terkenal dari Jepun menyasarkan pertumbuhan sebanyak 20 peratus tahun ke tahun, didorong oleh peningkatan kapasiti pengeluaran serta peluasan rangkaian produk bagi memenuhi permintaan pasaran tempatan dan antarabangsa.
Presiden dan Ketua Pengarah Eksekutif Otafuku Holdings Co., Ltd., Naoyoshi Sasaki berkata, dalam pada masa yang sama, pihaknya akan terus meningkatkan kecekapan pengeluaran supaya dapat memenuhi permintaan yang semakin meningkat tanpa menjejaskan keanjalan operasi.
“Secara berperingkat, kami akan membina asas ini bagi mencapai pertumbuhan yang mampan.
“Melangkah ke hadapan, sasaran kami adalah untuk mengembangkan segmen pasaran halal sambil mengekalkan kualiti dan konsistensi yang menjadi keunggulan Otafuku Sauce Malaysia.
“Kami juga mahu memperluaskan jangkauan di Malaysia, mengukuhkan kehadiran dalam pasaran Islam dan seterusnya meneroka peluang di wilayah lain yang mementingkan produk halal,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kini, Otafuku Sauce Malaysia membekalkan halal seperti Otafuku Sauce Malaysia mengeluarkan lebih 100 produk halal termasuk sos okonomi, perasa pedas seperti sos kimchi, perasa sos berasaskan soya seperti sos teriyaki serta produk berasaskan cuka seperi perasa nasi sushi.
Menurut beliau, sebanyak 85 peratus hasil jualan Otafuku Sauce Malaysia merupakan pasaran tempatan, manakala selebihnya meliputi pasaran eksport ke Indonesia, Singapura, United Kingdom, Emeriah Arab Bersatu, Jepun dan lain-lain.
Bagi kilang Malaysia sedia ada, beliau berkata, kilangnya telah mempunyai pensijilan halal sejak awal.
“Oleh itu, fokus utama bukanlah kepada impak pensijilan halal itu sendiri.
“Sebaliknya, dengan pembukaan kilang baharu, ia akan meningkatkan kapasiti pengeluaran kami untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat, sama ada di pasaran tempatan mahupun luar negara. Kemudahan baharu ini juga membolehkan kami menghasilkan pelbagai jenis produk, bukan terhad kepada sos sahaja.
“Kami kini berupaya mengeluarkan produk berasaskan sup, sos salad serta mayonis,” katanya. – UTUSAN









