ISU kemalangan jalan raya sering kali memenuhi ruangan akhbar. Menurut statistik kes kemalangan maut bagi tempoh separuh pertama tahun 2025, sebanyak 3,087 kes direkodkan.
Data ini jelas menunjukkan tahap literasi keselamatan jalan raya dalam komuniti jalan raya di Malaysia masih berada di tahap yang rendah.
Kadar kematian akibat kemalangan jalan raya ini menunjukkan Malaysia kehilangan seramai kira-kira 60,000 nyawa dalam tempoh 10 tahun, yang dalam 90 peratus daripada jumlah itu melibatkan golongan belia, yang juga merupakan potensi tenaga kerja mahir negara.
Isu nahas jalan raya di negara kita bukanlah suatu perkara baharu, malah kadar nahas jalan raya di Malaysia kekal pada tahap yang membimbangkan.
Masalah tersebut telah mendorong pihak kerajaan, terutamanya Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Pengangkutan, menggarap pelbagai inisiatif seperti kempen keselamatan jalan raya bagi menurunkan statistik kemalangan jalan raya di Malaysia.
Berdasarkan data kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), kecuaian manusia dikenal pasti sebagai punca utama kemalangan jalan raya di negara ini.
Walaupun usaha membaiki dan menambah baik aspek keselamatan jalan raya di kota mahupun desa giat dijalankan, jika kecuaian itu sendiri tidak ditangani, maka usaha tersebut hanya sekadar menanam mumbang.
Antara faktor-faktor lain yang dikenal pasti termasuklah keadaan jalan raya dan juga keadaan kenderaan. Pemeriksaan kenderaan secara berkala dapat membantu mengurangkan kebarangkalian kemalangan jalan raya, seterusnya menyelamatkan nyawa pemandu, penumpang dan pengguna jalan raya yang lain.
Namun yang demikian, walaupun kempen keselamatan, penambahbaikan infrastruktur dan penguatkuasaan undang-undang telah dilaksanakan, statistik menunjukkan angka kemalangan jalan raya di Malaysia tetap tinggi.
Ini menekankan keperluan bagi penyelesaian holistik serta mampan, termasuklah pendidikan keselamatan jalan raya yang berterusan dan perubahan sikap pengguna jalan raya secara menyeluruh.
Para pengguna jalan raya mestilah memandu secara berhemah, dan sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan tanpa sebarang kompromi bagi memastikan sifar kes kemalangan jalan raya mampu direalisasikan. Benarlah kata pepatah, pandu cermat, jiwa selamat. – UTUSAN
AZIQAH YAZID
Kuala Lumpur











