MANCHESTER: Pep Guardiola tidak berselindung apabila menyifatkan dirinya amat bertuah mengemudi Manchester City, sambil secara halus menyindir budaya tidak stabil Chelsea selepas kelab London itu berpisah dengan Enzo Maresca.
Pengendali dari Sepanyol itu berkata, pemergian Maresca yang juga bekas pembantunya di City bukan sahaja satu kerugian besar buat Chelsea, malah mencerminkan perbezaan ketara antara pengurusan di Stamford Bridge dan Stadium Etihad.
“Chelsea kehilangan seorang pengurus yang luar biasa. Seorang manusia yang hebat. Tetapi itu keputusan mereka,” kata Guardiola.
Tanpa berselindung, Guardiola mengakui situasi berkenaan menguatkan lagi keyakinannya terhadap kestabilan City.
“Dalam bola sepak, tiada apa yang mengejutkan. Inilah sebabnya saya rasa sangat bertuah berada di kelab ini. City sebuah kelab yang luar biasa,” katanya.
Nama Maresca sebelum ini dikaitkan sebagai calon pengganti Guardiola pada masa depan, namun pengendali berusia 54 tahun itu menolak spekulasi berkenaan dengan nada berseloroh.
“Mahu pecat saya? Gaji saya terlalu mahal. Saya masih ada kontrak setahun lagi,” katanya ketika sidang media perlawanan menentang Chelsea.
Guardiola turut menegaskan komitmennya bersama City, sambil memuji sokongan padu pengurusan walaupun pasukan melalui tempoh sukar musim lalu.
“Saya gembira di sini. Saya mahu terus berjuang. Kelab ini menyokong saya walaupun kami tidak menang selama tiga bulan. Itu jarang berlaku dalam bola sepak moden,” ujarnya. – AGENSI/UTUSAN










