PEMERGIAN Khaleda Zia pada usia 80 tahun menutup satu bab penting dalam sejarah Bangladesh, apabila negara itu kehilangan perdana menteri wanita pertamanya dan tokoh politik paling berpengaruh.
Beliau merupakan isteri kepada Ziaur Rahman, tokoh utama dalam perjuangan kemerdekaan Bangladesh yang dilantik sebagai presiden pada 1977.
Pada ketika itu, Khaleda sering digambarkan sebagai seorang suri rumah yang pemalu dan menumpukan sepenuh perhatian kepada dua anak lelakinya.
Namun, kehidupannya berubah secara drastik selepas suaminya dibunuh pada 1981. Tragedi itu mendorong beliau melangkah ke dunia politik, sebelum muncul sebagai pemimpin Parti Nasionalis Bangladesh (BNP) dan berkhidmat dua penggal sebagai perdana menteri, pada era 1990-an dan awal 2000-an.
Dalam dunia politik Bangladesh yang penuh persaingan, Khaleda berdepan pelbagai tuduhan rasuah dan menghabiskan beberapa tahun di penjara.
Bagaimanapun, pertuduhan terhadapnya digugurkan susulan kebangkitan rakyat pada 2024 yang menyaksikan seteru politiknya, Sheikh Hasina, digulingkan daripada tampuk kuasa.
Begum Khaleda Zia dilahirkan di Bengal Barat pada 1945. Anak kepada peniaga teh itu berpindah bersama keluarganya ke wilayah yang kini dikenali sebagai Bangladesh selepas perpecahan India.
Pada usia 15 tahun, beliau berkahwin dengan Ziaur Rahman, ketika itu seorang pegawai muda tentera.
Pada 1971, Ziaur menyertai pemberontakan menentang tentera Pakistan Barat dan mengisytiharkan kemerdekaan Bangladesh.
Selepas tentera merampas kuasa pada 1977, Ziaur, yang ketika itu menjadi ketua staf tentera, mengisytiharkan dirinya sebagai presiden.
Beliau memperkenalkan semula sistem parti politik dan media bebas, sebelum kemudiannya mendapat sokongan melalui undi popular.
Sepanjang pemerintahannya, beliau berdepan sehingga 20 cubaan rampasan kuasa tentera dan menanganinya dengan tindakan keras. Terdapat laporan mengenai hukuman mati beramai-ramai terhadap anggota tentera.
Pada 1981, Ziaur dibunuh oleh sekumpulan pegawai tentera dalam satu serangan di Chittagong.
PERMULAAN KARIER POLITIK
Sejak itu, Khaleda menjalani kehidupan yang serba sederhana, jarang menonjolkan diri dan kelihatan tidak begitu berminat dengan kehidupan awam.
Beliau kemudiannya menyertai BNP dan dilantik menjadi naib pengerusi parti itu. Pada 1982, Bangladesh memasuki era pemerintahan diktator selama sembilan tahun, dan Khaleda tampil memainkan peranan dalam menggerakkan kempen menuntut demokrasi.
Tentera mengadakan pilihan raya yang dikawal ketat, namun beliau enggan membenarkan partinya mengambil bahagian. Tidak lama kemudian, beliau diletakkan di bawah tahanan rumah.
Walaupun berdepan sekatan, Khaleda terus menggerakkan perhimpunan besar-besaran, yang akhirnya memaksa tentera menyerahkan kuasa.
Pada 1991, Khaleda bersama BNP muncul sebagai parti terbesar dalam pilihan raya pasca kawalan tentera, dan beliau mengangkat sumpah sebagai perdana menteri.
Beliau yang digelar ‘ibu demokrasi’, mengambil alih kebanyakan kuasa presiden terdahulu, menjadi pemimpin wanita pertama Bangladesh dan wanita kedua yang memimpin negara Islam.
Menyedari kanak-kanak Bangladesh hanya menerima pendidikan dua tahun secara purata, beliau menjadikan pendidikan sekolah rendah percuma dan wajib untuk semua.
Namun, lima tahun kemudian, beliau tewas dalam percubaan untuk dipilih semula kepada Parti Awami pimpinan Sheikh Hasina.
Pada 2001, Khaleda kembali berkuasa selepas membentuk pakatan dengan beberapa parti Islamis. Gabungan itu memenangi hampir dua pertiga kerusi di parlimen.
Dalam penggal keduanya, beliau memperkenalkan pindaan perlembagaan yang memperuntukkan 45 kerusi parlimen khas untuk wakil wanita, dan giat memajukan pendidikan golongan muda wanita, dalam negara di mana 70 peratus daripada mereka buta huruf.
SETERU SHEIKH HASINA
Pada Oktober 2006, Khaleda meletak jawatan menjelang pilihan raya umum yang dijadualkan sehingga mencetuskan gelombang rusuhan.
Kerajaan interim melarang kebanyakan aktiviti politik dan memulakan tindakan tegas terhadap kes rasuah peringkat tinggi. Setahun kemudian, Zia ditahan bagi tuduhan pemerasan dan rasuah.
Tangkapan itu susulan penahanan pesaing utamanya, Hasina, pemimpin Parti Awami dan anak perempuan presiden pertama Bangladesh.
Kedua-dua wanita yang bergilir-gilir memegang kuasa kerajaan dan pembangkang selama hampir dua dekad, tiba-tiba terperangkap dalam kes mahkamah.










