KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi mengakui corak permainan beregu Malaysia semakin mudah dibaca pencabar utama khususnya dari Indonesia, namun menegaskan beliau sama sekali tidak berada dalam mod panik.
Menurut Herry, situasi itu adalah lumrah dalam kitaran kompetitif badminton dunia apabila sesebuah pasukan mula menunjukkan perubahan taktikal, sebelum lawan menyesuaikan diri dalam tempoh tertentu.
“Beregu lelaki di dunia sekarang lebih kurang hampir sama (prestasi) ya. Mana yang lebih kondisi lebih baik, lebih bagus, itu boleh memenangkan satu pertandingan.
“Sekarang ini kita tidak boleh ikut semua kejohanan. Cuma pemain Korea Selatan sahaja yang berada di tahap lebih tinggi dan boleh dijadikan rujukan untuk dipelajari.
“Sebelum saya hadir, mungkin negara lain sudah tahu corak permainan pemain Malaysia. Selepas saya membuat sedikit perubahan, mungkin mereka agak terkejut, tetapi saya kurang pasti sepenuhnya,” kata Herry.
Herry yang mengendali skuad kebangsaan Indonesia selama lebih 30 tahun, membawa Aaron Chia-Soh Wooi Yik meraih tiga gelaran musim lalu di Kejohanan Asia, Terbuka Thailand dan Singapura manakala Man Wei Chong-Tee Kai Wun mengungguli Indonesia dan Malaysia Masters.
Bagaimanapun pada penghujung musim 2025 mereka sering ditewaskan oleh dua beregu Indonesia, termasuk Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani dan Fajar Alfian-Muhammad Shohibul Fikri sekali gus jelas memberi isyarat bahawa lawan sudah memahami rentak permainan Malaysia serta taktik Herry.
Sementara itu, Wei Chong mengakui cabaran menentang Indonesia semakin sukar kerana tahap konsistensi lawan yang lebih tinggi.
“Strategi mereka hampir sama dengan kita, tetap mereka lebih konsisten dan itu yang buat kita selalu kalah,” katanya.
Wei Chong bagaimanapun menegaskan tekanan daripada pencabar serantau termasuk rakan sepasukan sendiri dianggap sebagai pemangkin positif untuk meningkatkan prestasi, bukan alasan untuk hilang keyakinan.
“Yang penting prestasi, kalau prestasi bagus, keputusan akan datang juga. Ranking itu cuma nombor,” katanya. – UTUSAN











