Pamer budaya mesra sambut pelancong TMM2026

Pamer budaya mesra sambut pelancong TMM2026

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Rakyat diminta mempamerkan budaya mesra dan hospitaliti kepada pelancong antarabangsa bagi mengukuhkan imej Malaysia sebagai destinasi pilihan menjelang pelaksanaan Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, beliau mene­rima aduan dan meminta penjelasan daripada agensi berkaitan, yang memaklumkan bahawa terdapat pihak yang bersikap kurang mesra dan menunjukkan kemarahan apabila pelancong bertanya.

“Saya ada menerima aduan dan telah meminta penjelasan daripada agensi berkaitan dan mereka memaklumkan bahawa apabila pelancong bertanya, ada pihak (segelintir rakyat) yang bersikap kurang mesra dan menunjukkan kemarahan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya menggesa semua rak­yat untuk bersama-sama membuktikan bahawa Malaysia adalah sebuah negara mesra dan berbudaya sopan, dengan sentiasa mengalu-alukan kedata­ngan pelancong dari seluruh dunia,” katanya selepas menyam­but ketibaan pelawat antarabangsa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 (KLIA T1), semalam.

Tambahnya, usaha mempromosi TMM2026 setakat ini, menunjukkan perkembangan positif dan sambutan mengga­lakkan daripada rakyat tempatan serta pelancong luar negara.

“Setakat ini, promosi TMM2026 berjalan lancar. Kelmarin, ketika Visit Malaysia 2026 Countdown Festival di Bukit Bintang, semua premis penuh, kiri-kanan dipenuhi pengunjung,” katanya.

Terdahulu, King Sing bersama warga Kementerian Pe­lan­congan, Seni dan Budaya termasuk Pengerusi Tourism Malaysia, Datuk P. Manoharan menyambut ketibaan pelancong antarabangsa di Balai Ketibaan KLIA Terminal 1 dengan me­ngagihkan beg cenderamata sebagai tanda alu-aluan.

Majlis tersebut turut diserikan dengan persembahan kebudayaan serta penampilan maskot rasmi TMM2026, Wira dan Manja yang menceriakan suasana ketibaan pelawat pada pagi ini.

KLIA T 1 menjadi salah satu lokasi utama pelancaran kempen TMM2026 dengan sambutan se­rentak turut diadakan di 55 pintu masuk utama dan lokasi terpilih melibatkan semua 13 negeri.

Dalam pada itu, Tourism Malaysia memaklumkan kalendar acara TMM2026 menampilkan lebih 300 program sepanjang tahun merangkumi elemen seni, budaya, warisan serta kepelbagaian tradisi perayaan bagi mempamerkan identiti Malaysia sebagai destinasi pelancongan berbilang budaya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×