JOHOR BAHRU: Sepasang suami isteri di sini teruja apabila menyambut kelahiran bayi kembar lelaki mereka pada tarikh tahun baharu 2026.
K. Puvaneswaran, 38, dan isterinya V. Permaladevi, 37, menyambut kelahiran bayi kembar lelaki pada pukul 11.13 dan 11.15 pagi tadi di Hospital Pakar Johor dengan kedua-dua bayi itu masing-masing seberat 2.6 kilogram.
Menurut Puvaneswaran, dia tidak menyangka akan menerima bayi kembar pada tarikh yang bermakna ini malah berharap anaknya sihat dan membawa tuah buat mereka.
“Kami merancang untuk mendapat anak perempuan kerana sudah memiliki dua anak lelaki, tidak sangka pula kali ini dapat kembar lelaki. Saya tetap anggap ini rezeki buat kami,” ujarnya.
Sementara itu, pasangan suami isteri, Zulfaqar Nizam dan Ashwindnita Mohd. Fauzi Nair yang masing-masing berusia 30 tahun berkata, detik 10.50 pagi tadi cukup bermakna bagi mereka yang menyambut kelahiran bayi perempuan pertama.
“Sebelum ini kami dikurniakan dua anak lelaki, syukur kali ini Tuhan hadirkan seorang puteri buat kami.
“Kami berharap permata baharu kami ini dalam keadaan sihat dan baik serta menjadi anak yang solehah dan berbakti kepada ibu bapa,” katanya. – UTUSAN








