SPRM siasat tender perolehan RM58.45 juta UKM

SPRM siasat tender perolehan RM58.45 juta UKM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melaksanakan siasatan tatakelola bagi meneliti sebarang aspek ketidakpatuhan dan kelemahan yang wujud melibatkan proses perolehan ke atas tender Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang bernilai RM58.45 juta.

Pengarah Bahagian Penyiasatan Tatakelola (BPT) SPRM, Datuk Mohd. Zaki Hassan berkata, satu fail penyiasatan tatakelola berhubung kes itu telah dibuka.

“Buat masa ini siasatan kes masih dijalankan. Ini bagi mengenal pasti sekiranya wujud kelemahan atau ketidakpatuhan sebagaimana Laporan ketua Audit Negara (LKAN) pada 21 Julai lalu yang mendedahkan tiga daripada tujuh tender perolehan UKM keseluruhan berjumlah RM58.45 juta didapati tidak mematuhi prosedur perolehan yang ditetapkan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Pada November lalu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Zainul Darus berkata, lima individu sudah diambil keterangan berhubung perkara itu.

LKAN mendedahkan bahawa Jawatankuasa Perolehan Tender UKM telah memilih syarikat yang tidak disyorkan oleh Jawatankuasa Penilaian Teknikal, Jawatankuasa Penilaian Kewangan dan Jawatankuasa Pra-Tender.

UKM juga didapati tidak melantik wakil Kementerian Kewangan (MoF) sebagai ahli Jawatankuasa Perolehan manakala wakil Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang dilantik tidak hadir dalam mesyuarat berkaitan tiga tender berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×