PETALING JAYA: Kedudukan Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) di tangga ketiga dunia dalam Ranking Passport Index 2025 mencerminkan keyakinan global terhadap keselamatan dokumen perjalanan negara.
Berdasarkan rekod Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) lebih 12.97 juta pasport antarabangsa dikeluarkan bagi tempoh 2019 hingga November 2025, sekali gus menunjukkan peningkatan ketara selepas fasa pandemik COVID-19.
Daripada jumlah itu, sebanyak 1,782,487 pasport dikeluarkan sepanjang tempoh Januari hingga November tahun ini, di mana jumlah pengeluaran mengikut tahun adalah 2,006,118 (2019), 407,987 (2020), 444,005 (2021), 2,574,287 (2022), 3,057,825 (2023) dan 2,702,510 (2024).
Dalam tempoh sama sebanyak 8,981,667 juta pasport kategori biasa telah dikeluarkan.
Kategori lain melibatkan warga emas (1,385,747), kanak-kanak (1,623,590), jemaah haji (39,698), pelajar (12,535) serta pasport diplomatik dan rasmi yang pengeluarannya dikawal ketat mengikut prosedur keselamatan ditetapkan.
Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban berkata, peningkatan kedudukan pasport Malaysia adalah hasil daripada beberapa faktor secara menyeluruh.
Antaranya, kata beliau, pasport Malaysia kini membolehkan pemegangnya untuk masuk ke 174 negara tanpa perlu visa, satu pencapaian yang pastinya meningkatkan mobiliti rakyat Malaysia di peringkat antarabangsa.
“Ciri keselamatan pasport yang moden, termasuk teknologi biometrik dan Near Field Communication (NFC) gus meningkatkan keyakinan dan kepercayaan negara-negara lain terhadap Pasport Malaysia,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Menurut Zakaria, secara khususnya, kerajaan Malaysia melalui JIM menitikberatkan pembangunan hubungan diplomatik dengan negara-negara luar.
“Kita (JIM) sentiasa berusaha mengekalkan kemampuan mengeluarkan pasport yang mematuhi piawaian antarabangsa yang ditetapkan oleh International Civil Aviation Organization (ICAO) dalam memastikan keselamatan, kesahihan dan kebolehpercayaan setiap dokumen perjalanan yang dikeluarkan selaras dengan piawaian yang ditetapkan dalam ICAO Document 9303,” jelasnya.
Zakaria memberitahu, JIM juga telah melaksanakan Sistem MyOnline Passport yang membolehkan permohonan pasport lanjutan dibuat secara dalam talian.
Pada peringkat awal, tempoh kelulusan sistem itu mengambil masa sehingga tiga hari bekerja, namun hasil penambahbaikan proses, ia kini dipendekkan kepada hanya satu hari bekerja, sekali gus memudahkan rakyat mendapatkan pasport dengan lebih cepat dan selesa.
Selain itu, kata beliau, JIM turut meneliti beberapa penambahbaikan lain yang kini berada di peringkat ujian rintis di beberapa cawangan terpilih, termasuk pelaksanaan Kaunter Sehenti (OSC).
“Sekiranya OSC dilaksanakan sepenuhnya, ia dijangka dapat memendekkan proses pengeluaran pasport di kaunter dan menjadikan urusan lebih pantas serta efisien.
Usaha itu turut disokong dengan sistem penggiliran ‘nombor secara atas talian’ membolehkan pemohon mengurus masa mereka tanpa perlu hadir awal dan bersesak di pejabat permohonan pasport,” ujarnya.
Zakaria berkata, pendekatan ini diharap dapat meningkatkan pengalaman rakyat ketika berurusan dengan Jabatan Imigresen.
Dari aspek keselamatan, ujar Zakaria, pasport Malaysia kini menggunakan pelbagai ciri keselamatan berteknologi tinggi termasuk cip biometrik, holografi, tera air, teks mikro serta e-pasport yang mematuhi ICAO. – UTUSAN










