KANGAR: Kegagalan pemimpin-pemimpin Pas melaksanakan tanggungjawab dengan baik menjadi punca utama tercetusnya kemelut politik di Perlis termasuk dalam soal pelantikan Menteri Besar.
Ketua Dewan Ulama Pas negeri, Ahmad Adnan Fadzil mendedahkan, kegagalan berunding secara berkesan dengan istana bagi pihak Pas, setelah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail memaklumkan hasrat untuk menukar Menteri Besar, akhirnya menyebabkan Raja Perlis terpaksa bertindak menggunakan budi bicara baginda sepenuhnya.
Beliau juga kekal dengan pendirian bahawa tiada unsur pengkhianatan dalam polemik semasa yang melibatkan kepemimpinan Pas Perlis termasuk tiga wakil rakyat yang dihentikan keahlian.
Katanya, ia termasuk juga dengan Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang tidak terlibat langsung dalam kemelut tersebut.
“Dokumen yang ditandatangani itu (disebut-sebut SD) bukan dibuat di luar dan kemudian dibawa menghadap Tuanku Raja Perlis, sebaliknya ditandatangani di hadapan Raja Perlis sendiri.
Kejadian ini tidak akan berlaku sekiranya pihak yang diamanahkan itu memainkan peranan dengan sebaiknya sejak awal.
“Saya juga dimaklumkan bahawa pada saat-saat terakhir sebelum pengisytiharan Menteri Besar baharu daripada Bersatu, Tuanku Raja masih membuka peluang untuk Menteri Besar tersebut datang daripada Pas. Namun, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)- ADUN Pas gagal memainkan peranan sewajarnya apabila diajukan pilihan oleh Tuanku Raja Perlis.
“Saya turut difahamkan bahawa tiada sebarang bai‘ah ditandatangani oleh calon-calon Pas Perlis semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). Perkara tersebut wajar disiasat dan diperjelaskan secara telus.
“Oleh itu, dalam kemelut ini, meletakkan keseluruhan kesalahan ke atas Bersatu adalah tidak adil. Risikonya ialah tercetus desakan-desakan yang tidak perlu, termasuk peletakan jawatan yang juga sebenarnya boleh dielakkan,” katanya di sini semalam.
Pendedahan terbaharu Dewan Ulama Pas Perlis itu dianggap cukup penting, sekali gus memperjelaskan situasi yang berlaku di sebalik kemelut politik di Perlis.
Pada Ahad lalu, ADUN Kuala Perlis dari Bersatu, Abu Bakar Hamzah dilantik sebagai Menteri Besar baharu menggantikan Mohd. Shukri Ramli yang meletakkan jawatan.
Krisis politik di Perlis meletus selepas lapan ADUN Perikatan Nasional (PN) iaitu lima dari Bersatu dan tiga dari Pas menantandatangani SD menyatakan penolakan sokongan terhadap Mohd. Shukri.
Ekoran itu, tiga bekas ADUN dari Pas iaitu Mohd. Ridzuan Hashim (Guar Sanji) dan Saad Seman (Chuping) dan Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) tergugur keahlian dan kerusi ketiga-tiga mereka dikosongkan.
Ahmad Adnan berkata, penulisan atau pendedahan ini bukan lagi sekadar bertujuan mendamaikan, tetapi untuk membuka mata dan hati semua agar melihat perkara yang benar dengan lebih jujur dan adil.
Ujar beliau, tiada sesiapa yang perlu meletakkan jawatan sebaliknya ambillah kembali amanah yang ada, nilai semula kesilapan yang berlaku dan lakukan pembetulan.
“Itulah jalan yang lebih matang dan bertanggungjawab. Rentetan daripada itu, kerajaan Perlis juga wajar terus ditadbir seperti sebelumnya, iaitu oleh PN dengan barisan Exco daripada gabungan Pas dan Bersatu dengan perubahan hanya melibatkan jawatan Menteri Besar sahaja.
“Pilihan Raya Kecil (PRK) wajar dielakkan, kerana dalam keadaan kemelut yang sedang berlaku, PN berdepan kesukaran untuk meraih kemenangan buat masa ini,” katanya.
Sementara itu, katanya, Pas belum menang dengan kekuatan sendiri sepenuhnya meskipun kuat daripada jentera dan akar umbi. – UTUSAN










