Muhyiddin letak jawatan demi kestabilan PN 

Muhyiddin letak jawatan demi kestabilan PN 

NOH Omar (dua dari kanan) menyerahkan surat pelantikan pengerusi Pusat Khidmat Muafakat Nasional DUN sebagai simbol komitmen pertubuhan itu dalam memperkukuh khidmat kebajikan dan mendekati rakyat di peringkat akar umbi sempena majlis pelancarannya di Durian Tunggal, Alor Gajah, hari ini. - UTUSAN/AMRAN ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Keputusan Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) disifatkan sebagai langkah berjiwa besar demi meredakan kemelut dalaman gabungan itu serta memastikan kesinambungan perjuangan parti

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Noh Omar berkata, tindakan tersebut membuktikan Muhyiddin tidak mementingkan kedudukan peribadi, sebaliknya meletakkan kepentingan gabungan sebagai keutamaan dalam memastikan kestabilan politik terus terpelihara.

“Daripada apa yang saya lihat, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah seorang pemimpin yang berjiwa besar dan sentiasa meletakkan kepentingan gabungan mengatasi kepentingan peribadi. 

Memuatkan artikel berkaitan…

“Apabila berlaku sedikit kemelut dalam Perikatan Nasional, beliau memilih untuk berundur demi kestabilan dan kesinambungan perjuangan parti,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Pusat Khidmat Muafakat Nasional (MN) DUN di Durian Tunggal, di sini, hari ini.

Sementara itu, Noh Omar yang juga Timbalan Presiden MN menegaskan pertubuhan tersebut bukan sebuah entiti politik, sebaliknya sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berdaftar dan ditubuhkan khusus bagi melaksanakan kerja-kerja kebajikan serta khidmat masyarakat kepada rakyat tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik.

Katanya, MN berperanan sebagai platform sukarelawan yang memberi tumpuan kepada usaha membantu rakyat di peringkat akar umbi termasuk menerima aduan masyarakat, menyampaikan bantuan kebajikan serta menjadi penghubung antara rakyat dan agensi berkaitan.

Katanya, penubuhan Pusat Khidmat Muafakat Nasional DUN di Melaka merupakan langkah permulaan sebelum inisiatif sama diperluaskan ke peringkat Persekutuan sebagai usaha mendekati rakyat secara lebih menyeluruh melalui pendekatan kebajikan dan khidmat sosial.

Tambah beliau, usaha membantu rakyat tidak seharusnya terikat kepada sentimen politik atau kepartian, sebaliknya perlu digerakkan atas dasar keprihatinan dan semangat perpaduan demi kesejahteraan masyarakat secara keseluruhan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini