SEREMBAN: Situasi Perikatan Nasional (PN) di Negeri Sembilan juga goyah apabila dua pemimpin kanannya turut membuat keputusan meletak jawatan.
Ia susulan peletakan jawatan Pengerusi PN Negeri Sembilan, Mohamad Hanifah Abu Baker semalam.
Mereka ialah Setiausaha PN Negeri Sembilan, Muhammad Noraffendy Mohd. Salleh dan Ketua Penerangan PN Negeri Sembilan, Mohd. Nazree Mohd. Yunus.
Muhammad Noraffendy yang juga Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Jempol berkata, tindakannya itu mengambil kira pelantikanya selaku setiausaha sebelum ini adalah di bawah bidang kuasa Pengerusi PN Negeri Sembilan.
“Sehubungan dengan itu, saya dengan ini meletakkan jawatan sebagai Setiausaha Perikatan Nasional Negeri Sembilan, berkuat kuasa 1 Januari 2026,” katanya.
Mohd. Nazree yang merupakan Ketua Bersatu Rembau pula berkata, tindakannya juga adalah selaras dengan keputusan Mohamad Hanifah dan tanda solidariti dengan keputusan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN semalam.
“Politik partisan adalah platform ibadah semata-mata dan ruang melakukan kebaikan. Maka khidmat bakti untuk ummah dan masyarakat boleh dilaksanakan dalam apa jua bentuk dan lapangan termasuk sama ada dengan berjawatan atau pun tidak,” katanya. – UTUSAN










