PUTRAJAYA: Malaysia menolak keras tindakan Israel yang mengiktiraf Somaliland serta membantah sebarang usaha untuk menjadikan kawasan itu atau mana-mana wilayah lain sebagai destinasi pengusiran paksa rakyat Palestin dari Gaza.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendirian Malaysia adalah selaras dengan kenyataan bersama pelbagai negara dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang menolak tindakan Israel tersebut.
“Kami menyatakan penolakan tegas terhadap sebarang cubaan untuk menggunakan ‘Somaliland’ atau mana-mana wilayah lain sebagai destinasi bagi pemindahan paksa atau pengusiran rakyat Palestin dari Gaza.
“Tindakan sedemikian adalah sama sekali tidak boleh diterima, melanggar undang-undang antarabangsa dan prinsip kemanusiaan serta hanya akan terus menzalimi dan bukan menyumbang kepada keamanan.
“Kami menolak semua tindakan yang menjejaskan sistem perundangan antarabangsa,” katanya pada sidang akhbar di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.
Israel menjadi negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang pertama secara rasmi mengiktiraf Somaliland sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat pada Jumaat lepas.
Ia sekali gus mengundang kecaman daripada Turkiye, sekutu rapat Somalia serta beberapa negara di benua Afrika dan Asia Barat.
Somaliland yang tidak mendapat pengiktirafan rasmi sejak mengisytiharkan kemerdekaan daripada Somalia pada tahun 1991, beroperasi sebagai entiti pentadbiran, politik dan keselamatan yang bebas secara de facto.
Kerajaannya bergelut untuk menguasai wilayah tersebut serta kepimpinan Somaliland masih gagal memperoleh pengiktirafan kemerdekaan di peringkat antarabangsa.
Berhubung perkembangan Gaza, Anwar berkata, beliau mengambil maklum perbincangan terkini yang diadakan di Florida bagi membincangkan fasa seterusnya proses damai, sambil menegaskan bahawa sebarang kemunculan semula keganasan berskala besar mesti dielakkan.
“Kita harus jelas, tidak boleh ada sebarang kemunculan semula keganasan berskala besar. Jika keganasan berlaku semula, ia akan membawa kesan yang tidak tertanggung ke atas orang awam dan akan terus melemahkan prospek keamanan yang sudah pun rapuh,” katanya.
Mengulas mengenai perkembangan pasca pilihan raya Myanmar, beliau berkata, para pemimpin ASEAN akan terus meneliti perkembangan dengan berhati-hati, termasuk langkah-langkah yang sedang diambil berkaitan proses politik di negara itu. – UTUSAN










