SERDANG: Pertuduhan akan dilakukan terhadap suspek yang memukul seorang pekerja restoran makanan segera di Serdang Raya sehingga mangsa cedera pada 8 Disember lalu.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhammad Farid Ahmad berkata, kertas siasatan kes itu sudah dirujuk kepada pihak pendakwa raya dan arahan tuduh sudah diterima.
“Kertas siasatan kita sudah rujuk kepada pihak pendakwa raya pada minggu lalu dan kita sudah mendapat arahan untuk suspek dituduh dalam masa terdekat.
“Bagaimana, ketika ini suspek berada di luar negara dan dijangka pulang pada awal bulan depan, justeru prosiding pertuduhan ke atas suspek ditetapkan pada 8 Januari ini di Mahkamah Majistret Petaling Jaya,” katanya selepas Majlis Pelupusan Barang Kes di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, di sini hari ini.
Pada 8 Disember, kejadian berlaku di premis itu di Serdang Raya, di sini pada 4 petang.
Mangsa merupakan wanita berusia 45 tahun sedang bekerja apabila dia didatangi tujuh orang iaitu tiga lelaki dan empat wanita.
Wanita itu mendakwa suspek berusia 40 tahun yang dikenali melalui TikTok menyerangnya dengan menumbuk muka sebelah kiri sebanyak lima kali.
Akibat serangan itu, mangsa mengalami bengkak pada pipi kiri dan luka kecil di bahagian dalam bibir kiri.
Suspek sudah dipanggil memberi keterangan dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan. – UTUSAN









