GEORGE TOWN: Langkah untuk tidak lagi membenarkan pengurusan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) mengenakan yuran tambahan dapat meringankan beban ibu bapa memandangkan perbelanjaan untuk memasuki institusi tersebut juga agak tinggi.
Pengerusi Keilmuan Nasional Pulau Pinang, Azdy Mohd Arshad berkata, selain itu, langkah tersebut juga penting bagi meringankan beban ibu bapa terutama golongan berpendapatan rendah dalam menanggung perbelanjaan bulanan serta pelbagai aktiviti lain yang dianjurkan oleh pihak MRSM.
“Saya melihat pengecualian yuran tambahan ini amat wajar dipertimbangkan kepada pelajar terutamanya terhadap kumpulan pelajar yang datang daripada keluarga yang kurang berkemampuan,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Kelmarin, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, garis panduan khusus bagi menyelaras semua kutipan yuran dan bayaran tambahan termasuk yang dikenakan oleh Muafakat, badan setara Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) MRSM, akan dikeluarkan sebelum sesi persekolahan baharu bermula 12 Januari ini.
Mengulas lanjut, Azdy berkata, pengecualian atau kelonggaran yuran tambahan kepada pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan wajar diberi perhatian serius memandangkan kos sara hidup kini semakin meningkat.
Beliau melihat usaha Mara mewujudkan garis panduan kutipan yuran sebagai satu langkah positif dan wajar disokong kerana ia dapat mengelak daripada berlakunya kutipan yuran yang terlalu tinggi.
“Walaupun langkah ini mungkin tidak mampu menyelesaikan isu yuran secara total kerana pihak Muafakat masih memerlukan sumbangan, ia setidak-tidaknya mampu meringankan beban pihak yang terlibat,” katanya. – UTUSAN











