KUALA LUMPUR: Kes letupan peranti buatan sendiri atau IED di kawasan parkir dekat pangsapuri Desa Palma, Nilai pada 22 Disember lalu tidak menunjukkan sebarang unsur ekstremis atau kaitan dengan mana mana kumpulan atau organisasi jenayah.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, setakat ini siasatan mendapati kes itu berkemungkinan kejadian terpencil dan tidak berkait dengan mana mana rangkaian jenayah atau kumpulan terancang.
“Setakat ini, siasatan awal kita tidak mengenal pasti elemen ekstremis atau kaitan dengan mana mana kumpulan atau organisasi.
“Kes ini berkemungkinan kejadian terpencil, bagaimanapun siasatan lanjut sedang dijalankan secara menyeluruh,” katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman di sini hari ini.
Beliau berkata, bahan yang dirampas di lokasi kejadian mempunyai unsur letupan dan siasatan kini tertumpu kepada tujuan bahan itu disimpan, sasaran yang mungkin disasarkan serta kemungkinan pembabitan pihak lain.
Beliau berkata latar belakang suspek masih disiasat dan usaha merakam percakapan sedang diambil kerana suspek masih menerima rawatan di hospital.
“Suspek masih ditahan di hospital dan usaha untuk merakam percakapan sedang diambil. Kami menunggu laporan perubatan untuk menentukan keupayaan beliau memberi keterangan,” jelasnya.
M.Kumar berkata, suspek kini direman sehingga 3 Januari ini bagi membantu siasatan.
“Polis memohon masa dan ruang untuk melengkapkan siasatan kerana sebarang kenyataan awal mungkin pramatang dan boleh menjejaskan siasatan. Siasatan dijalankan secara telus dan menyeluruh,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad ketika dihubungi memberitahu, motif sebenar suspek, Yeoh Hock Sun, 62, masih belum dapat diketahui kerana lelaki itu berada dalam keadaan lemah dan belum dapat memberikan keterangan sepenuhnya.
“Buat masa ini, motif kejadian masih belum dapat dikenal pasti. Suspek sudah stabil tetapi dia masih tidak bermaya untuk bercakap bagi membantu siasatan. Pihak polis memerlukan masa untuk menjalankan siasatan secara terperinci. Jika ada perkembangan lanjut, kami akan maklumkan,” katanya.
Sebelum ini beliau memberitahu, suspek yang diklasifikasikan sebagai penjenayah berbahaya itu dikatakan bersembunyi di kawasan hutan dekat Batang Benar, Nilai sebelum ditahan dalam keadaan lemah pada 27 Disember lalu.
“Suspek ditemukan dalam keadaan tidak bermaya dengan kesan kecederaan melecur pada muka, tangan dan kaki selepas dipercayai bersembunyi di kawasan hutan berkenaan sejak kejadian letupan itu,” katanya.
Dilaporkan, orang awam yang masuk ke kawasan hutan itu untuk mencari hasil hutan ternampak suspek sebelum menghubungi polis sekali gus membawa kepada penahanannya bersama sebuah motosikal serta beberapa peranti letupan buatan sendiri.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 4 Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berjadual 1958 serta Seksyen 435 Kanun Keseksaan. – UTUSAN









