IPOH: Durian bukit di kampung Orang Asli di Pos Atap, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands di sini, mendapat sambutan luar biasa apabila mampu dijual sehingga 300 kilogram sehari semasa musim cuti sekolah.
Seorang remaja perempuan Orang Asli yang hanya mahu dikenali sebagai Rohadiniwatie, 14, berkata, durian bukit di kawasan kampungnya mula luruh sejak minggu lalu dan jumlahnya semakin bertambah sehingga menarik ramai pelanggan singgah di pondok jualan tepi jalan.
Menurutnya, pelanggan datang silih berganti tanpa henti, terdiri daripada pelbagai kaum termasuk Melayu, Cina dan India, selain pelancong luar negara yang dalam perjalanan untuk bercuti di Cameron Highlands.
“Sejak cuti sekolah, ayah dapat mengumpulkan antara 200 hingga 300 kilogram durian bukit setiap hari untuk dijual sama ada kepada pelanggan terus atau pemborong luar yang datang ke Kampung Pos Atap,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.
Rohadiniwatie berkata, proses mengutip durian bukan mudah kerana bapanya perlu berjalan kaki meredah bukit licin sejauh dua hingga tiga kilometer dengan masa perjalanan antara tiga hingga empat jam.
“Jika hujan, bapa terpaksa bermalam di dalam hutan. Pernah juga berlaku kejadian pokok tumbang selain terserempak dengan haiwan liar seperti beruang matahari dan harimau kumbang ketika mengutip durian,” katanya.
Menurutnya, selain durian, dia turut menjual hasil hutan lain seperti rebung buluh dan madu lebah yang kini banyak diperoleh dan dijual kepada pelancong.
Katanya, durian bukit juga dibeli daripada pekebun Orang Asli sebelum dijual kepada pelanggan dan harganya bergantung kepada kualiti dan saiz buah durian. – UTUSAN











