PETALING JAYA: Kadar kelangsungan hidup pesakit yang menjalani Rawatan Pengoksigenan Membran Ekstrakorporeal (ECMO) di Malaysia mencatatkan purata sehingga 70 peratus, bergantung kepada indikasi perubatan.
Pakar perubatan kesihatan awam, Datuk Dr. Zainal Arifin Omar berkata, mengikut kajian antarabangsa, data menunjukkan keberkesanan yang lebih tinggi direkodkan bagi pesakit kanak-kanak dan neonat iaitu sekitar 60 hingga 70 peratus, terutamanya bagi kes seperti sindrom aspirasi mekonium dan hernia diafragmatik kongenital.
“Kadar kejayaan bagi kes respiratori seperti sindrom kesukaran pernafasan akut (ARDS) yang teruk termasuk komplikasi COVID-19 adalah sekitar 55 hingga 65 peratus, manakala bagi kes kardiogenik seperti serangan jantung dan miokarditis adalah antara 50 hingga 60 peratus,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Katanya, rawatan ECMO tidak tersedia di semua hospital sebaliknya tertumpu di hospital pakar kerajaan, universiti dan sektor swasta terpilih.
“Antara pusat rujukan utama di Malaysia termasuk Hospital Kuala Lumpur (HKL), Hospital Serdang, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) dan institusi khusus seperti Institut Jantung Negara (IJN).
“Bagi sektor swasta, kemudahan ini turut ditawarkan di hospital seperti Pusat Perubatan Sunway (Sunway Medical Centre),” katanya.
Beliau mengulas laporan Utusan Malaysia, 20 Disember lalu tentang Institut Jantung Negara (IJN) yang terus menjadi harapan terakhir bagi pesakit jantung dan paru-paru kritikal melalui rawatan ECMO iaitu teknologi canggih yang menyokong fungsi organ apabila rawatan lain tidak lagi berkesan.
Rawatan tersebut akan digunakan pada tahap paling kritikal apabila jantung dan paru-paru pesakit hampir berhenti berfungsi dan memberi ruang kepada organ penting untuk berehat.
Walau bagaimanapun, beliau berkata, kos rawatan adalah sangat tinggi dan boleh mencecah puluhan ribu ringgit bagi satu tempoh rawatan.
“Meskipun kosnya tinggi, pesakit terutama daripada golongan B40 masih mempunyai peluang melalui sokongan insurans kesihatan atau bantuan kerajaan bagi kes-kes tertentu di hospital awam.
“Namun, faktor pemilihan pesakit amat penting. Pesakit dengan komorbiditi teruk seperti kegagalan pelbagai organ atau kanser terminal biasanya mempunyai prognosis yang lebih rendah,” katanya.
Menurutnya lagi, kekurangan kepakaran dan latihan tenaga pakar masih menjadi isu utama dalam mengembangkan rawatan berkenaan.
“Langkah proaktif telah diambil melalui peningkatan kerjasama dan latihan dengan pusat perubatan antarabangsa di Korea Selatan dan Singapura bagi meningkatkan kualiti hasil rawatan.
“Satu perkembangan positif di Malaysia melalui penggunaan ‘ECMO Mobil’ yang membolehkan pengangkutan pesakit kritikal dari satu hospital ke pusat rujukan ECMO dilakukan dengan selamat, sekaligus meningkatkan peluang penyelamatan nyawa pesakit,” katanya. – UTUSAN











