PETALING JAYA: Keamanan yang berkekalan di Yaman hanya dapat direalisasikan melalui rundingan konstruktif, pendamaian menyeluruh antara semua pihak serta pematuhan terhadap undang-undang antarabangsa.
Kementerian Luar berkata, Malaysia memuji usaha berterusan Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu dalam meredakan ketegangan di Yaman dan menggalakkan semua pihak serantau dan antarabangsa untuk menyokong inisiatif yang menegakkan kedaulatan, integriti wilayah serta kemerdekaan negara tersebut.
“Malaysia turut mengulangi sokongan penuh terhadap Majlis Kepimpinan Presiden (Presidential Leadership Council-PLC) dan Kerajaan Republik Yaman sebagai pihak berkuasa sah yang diiktiraf untuk memimpin negara itu melalui proses peralihan serta pembinaan keamanan.
“Kami menekankan kepentingan menghormati kerangka perlembagaan dan politik Yaman serta menggesa semua pihak terus komited kepada dialog dan rundingan secara aman, menyelesaikan pertelingkahan melalui kaedah politik dan mengelakkan sebarang tindakan yang menjejaskan kestabilan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut kementerian, Malaysia juga menyuarakan solidariti dengan rakyat Yaman yang terus berdepan penderitaan berpanjangan serta keperluan kemanusiaan yang mendesak.
“Malaysia menzahirkan kebimbangan mendalam terhadap peningkatan ketegangan baru-baru ini khususnya laporan mengenai operasi ketenteraan secara sehala dan kemaraan Majlis Peralihan Selatan (Southern Transitional Council-STC) di wilayah timur Hadramawt dan Al-Mahra.
“Malaysia bimbang tindakan STC ini meningkatkan ketegangan dan mengancam keselamatan yang sedia rapuh. Perkembangan ini berisiko menjejaskan kemajuan ke arah penyelesaian politik, mencetuskan perpecahan serta memburukkan lagi krisis kemanusiaan yang dihadapi rakyat Yaman,” kata kementerian itu. – UTUSAN










