PEJABATNYA di bangunan komersial Simpang Kuala, Alor Setar ini tidak putus kunjungan penduduk yang datang dengan pelbagai keluh kesah termasuk isu rumah tangga, jiran-jiran bertegang urat sehingga individu yang mempunyai sakit mental.
Demikianlah, di sebalik tugas hakiki yang sinonim dengan jawatannya sebagai wakil rakyat yang turun padang menyelesaikan masalah rakyat, beliau juga layak bergelar pakar kaunseling.
Itu belum sederet permasalahan lain yang sering mendatangi wakil rakyat sepertinya termasuk longkang tersumbat, bekalan air terganggu, jalan rosak, lampu rosak dan banjir kilat.
“Saya berkhidmat untuk semua dan mendengar semua masalah walaupun cuma mendengar keluhan daripada orang sakit mental yang ada juga datang ke pejabat saya ini,” cerita Ahli Dewan Undangan (ADUN) Kota Darul Aman, Teh Swee Leong ini.

Walaupun masih muda, beliau bukan asing dalam politik memandangkan sudah lama berjinak-jinak dengan kerja-kerja akar umbi sejak di bangku sekolah sebelum diberi mandat sebagai wakil rakyat pada 2018.
Kata Swee Leong, sejak berusia 17 tahun beliau sudah terlibat secara aktif dalam gerak kerja politik dan kemasyarakatan, termasuk membantu menyantuni penduduk setempat, mengurus aduan serta terlibat dalam pelbagai program kebajikan.
“Bapa saya juga seorang yang aktif dalam politik sebelum ini dan ketika waktu lapang saya sering mengikutnya melakukan kerja-kerja kemasyarakatan… turun padang di kawasan ini,” katanya ketika ditemui di pejabatnya baru-baru ini.
Pengalaman yang panjang itu membentuk kefahaman mendalam terhadap realiti kehidupan rakyat di Kota Darul Aman, sekaligus mempengaruhi pendekatan kepemimpinannya yang lebih praktikal dan berfokus kepada penyelesaian masalah.
Sejak dipilih sebagai ADUN, beliau konsisten mengamalkan budaya turun padang dan keterbukaan dalam berkhidmat kepada sesiapa saja yang memerlukan.

BIODATA
TEH SWEE LEONG
Umur: 36
Status: Berkahwin, dua anak
Pendidikan: Sarjana Muda Perbankan dan Kewangan Universiti Multimedia, Melaka
Jawatan: Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Darul Aman
Jawatan dalam politik: Setiausaha DAP Kedah
Santai: Hiking, mengembara, membaca, mendengar muzik
Katanya, pejabatnya menjadi medium utama untuk rakyat menyuarakan permasalahan sebelum turun padang menangani setiap aduan mengikut keperluan.
“Kota Darul Aman berada dalam bandar raya Alor Setar jadi kebanyakan masalah berkaitan sosiobudaya dan ekonomi masyarakat bandar seperti jalan rosak… tidak berturap, bekalan air dan banjir kilat
“Apabila mendapat aduan itu saya terus merujuk kepada agensi terlibat untuk mencari penyelesaian. Namun cabaran kita, bila ajukan aduan kemudian dimaklumkan tiada peruntukan jadi semua tertangguh.
“Namun jika ada kes-kes kecemasan saya akan keluarkan duit poket sendiri juga seperti kematian atau pokok tumbang,” jelas yang meninggalkan kerjaya akauntan untuk terlibat dalam politik.
Katanya, tugas itu lebih mencabar apabila berada di blok pembangkang namun keadaan tersebut tidak menjadi alasan untuk mengendurkan khidmat kepada rakyat yang memberi mandat dan kepercayaan.
Wakil rakyat ini juga menjadi sorotan media apabila membangkitkan isu kenaikan cukai taksiran penduduk bandar raya Alor Setar dalam Sidang Dewan Undangan Negeri, bulan lepas.

Katanya, sebagai ADUN, tugas utama beliau bukan sekadar hadir ke dewan sebaliknya memainkan peranan sebagai mekanisme semak dan imbang bagi memastikan setiap dasar dan keputusan kerajaan negeri memberi kesan positif kepada rakyat.
“Kami di blok pembangkang cuma tiga ADUN termasuk saya walaupun jadi minoriti, saya dan rakan-rakan harus suarakan juga. Selepas dua penggal menghadiri Sidang DUN, fungsi semak dan imbang menjadi semakin penting kerana di situlah suara rakyat dibawa dan diperincikan, termasuk isu yang mungkin tidak disedari pihak kerajaan.
“Jika kita tidak bangkitkan, kesannya kepada rakyat tidak akan kelihatan. Berkaitan isu kenaikan cukai sehingga 245 peratus ini, kerajaan negeri bertegas mengatakan hanya satu kilang terlibat hakikatnya banyak terkena. Saya perlu jelaskan hal itu,” ujarnya.
Dengan isu cukai taksiran itu yang semakin sampai ke penghujung, beliau masih berharap kerajaan negeri dapat menanganinya dengan situasi menang-menang.
“Saya sudah buat yang terbaik untuk rakyat yang datang kepada saya untuk mengadu kenaikan ini. Saya difahamkan cadangan kenaikan ini sudah dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan saya mengharapkan solusi yang terbaik sudah tidak membebankan penduduk,” harapnya.
Di sebalik itu, katanya, beliau beruntung kerana beberapa isu dapat diselesaikan dengan bantuan peruntukan Kerajaan Persekutuan termasuk pembaikan jalan, longkang dan naik taraf pasar melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU).
Tambahnya, beliau juga memainkan peranan membawa inisiatif kerajaan ke peringkat akar umbi, antaranya membantu peniaga kecil dan pekerja sendiri mendaftar di bawah skim perlindungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), selain membantu urusan kewarganegaraan dan permit tinggal bagi penduduk yang layak.
Sebagai wakil rakyat muda, beliau menyedari cabaran yang dihadapi lebih besar, namun percaya pendekatan turun padang, komunikasi berhemah dan sikap santun mampu membina kepercayaan rakyat.
“Walaupun ada yang skeptikal pada awalnya, bila kita turun sembang dengan sopan dan jujur, mereka boleh terima. Serahkan kepada rakyat untuk menilai. Yang penting, kita buat kerja sebaik mungkin,” katanya.
Jika ditanya tentang harapannya sebagai wakil rakyat, kata Swee Leong, beliau hanya ingin menciptakan kehidupan yang harmoni untuk penduduk di kawasannya termasuk menyediakan peluang pekerjaan yang lebih banyak kepada anak-anak muda di bandar ini.-UTUSAN










