Gaza: Israel berkeras tidak mahu undur

Gaza: Israel berkeras tidak mahu undur

GAMBAR yang diambil dari barat Jabalia, Gaza menunjukkan kepulan asap akibat serangan tentera Zionis berdekatan Beit Lahia, kelmarin. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penderitaan penduduk Palestin dijangka berpanjangan apabila rejim Zionis tidak akan mengundurkan tenteranya dari Semenanjung Gaza, sebaliknya merancang untuk mewujudkan zon penampan keselamatan di wilayah berkenaan.

Eksekutif Penyelidik dan Advokasi Cinta Gaza Malaysia (CGM), Nur Sabrina Suhaimi berkata, Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz memaklumkan tenteranya akan kekal berada di dalam Gaza bagi menguatkuasakan zon tersebut sekali gus menafikan hak kedaulatan tanah penduduk Palestin.

“Situasi ini memburukkan lagi krisis kemanusiaan sedia ada apabila Hospital Al-Awda di kem penempatan sementara Nuseirat, tengah Gaza mengumumkan pemberhentian operasi sepenuhnya ekoran kehabisan bekalan bahan api untuk mengaktifkan penjana mesin,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dalam pada itu, Nur Sabrina berkata, CGM kini sedang berhadapan dengan faktor cuaca bagi memastikan kelangsungan hidup mangsa perang.

“Ketika musim sejuk ini, CGM telah menyampaikan bantuan segera berupa baju sejuk, selimut dan nylon khemah memandangkan banyak khemah sedia ada telah rosak akibat hujan lebat.

Selain bantuan kecemasan, CGM turut melaksanakan projek pembersihan runtuhan bangunan, membaik pulih telaga air serta membina surau sementara. Malah, perancangan rapi sedang dibuat untuk fasa pembangunan semula Gaza secara berperingkat.

“Bantuan keperluan harian seperti makanan panas, air bersih, pek sayuran serta keperluan bayi seperti susu dan lam­pin juga diteruskan setiap hari tanpa gagal bagi meringankan beban penduduk,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Nur Sabrina berkata, krisis kemanusiaan di Sudan yang tercetus sejak April 2023 itu merupakan antara konflik terbesar dunia apabila lebih 30 juta orang memerlukan bantuan segera.

Katanya, sejak perang bermula, puluhan ribu nyawa terkorban manakala lebih 12 juta orang menjadi pelarian dalam negara sendiri.

“Mereka bukan sahaja berdepan kebuluran dan ketiadaan air bersih, malah berisiko menjadi mangsa tembakan rambu serta keganasan seksual,” katanya.

Menurutnya lagi, CGM telah mengagihkan bantuan di Khartoum dan Kem Kosti yang menempatkan kira-kira 20,000 pela­rian dari Darfur dan Al-Fasher. Pelarian di sana sebelum ini hanya berteduh di bawah khemah yang diperbuat daripada ranting kayu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×