PETALING JAYA: Perdagangan negara terus mencatat nilai positif dengan jumlah meningkat kepada RM263.9 bilion pada November 2025, disokong pertumbuhan eksport dan import masing-masing bernilai RM135.0 bilion dan RM128.9 bilion, menurut Jabatan Perangkaan.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, eksport negara merekodkan peningkatan tahunan sebanyak tujuh peratus atau RM8.9 bilion berbanding tempoh sama tahun lalu.
“Peningkatan eksport dipengaruhi oleh eksport yang lebih tinggi di Pulau Pinang (+RM6.9 bilion), Johor (+RM5.2 bilion), Perak (+RM699.1 juta), Sabah (+RM36.3 juta) dan Negeri Sembilan (+RM17.7 juta).
“Pulau Pinang kekal sebagai pengeksport utama dengan sumbangan 39.2 peratus, diikuti oleh Johor (21.1 peratus), Selangor (15.2 peratus), Sarawak (6.7 peratus) dan Wilayah Persekutuan (W.P) Kuala Lumpur (3.3 peratus),” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, beberapa negeri menunjukkan trend penurunan seperti di Selangor sebanyak RM1.4 bilion, Sarawak (-RM969.8 juta), Pahang (-RM658.8 juta), W.P. Labuan (-RM445.4 juta), W.P. Kuala Lumpur (-RM348.0 juta), Kedah (-RM272.5 juta), Kelantan (-RM266.2 juta), Terengganu (-RM66.9 juta), Perlis (-RM23.9 juta) dan Melaka (-RM4.5 juta).
Mengulas lanjut, Mohd Uzir berkata, nilai import pula meningkat kepada RM17.6 bilion atau sebanyak 15.8 peratus berbanding bulan yang sama pada tahun lalu.
Katanya, peningkatan itu dipacu oleh nilai yang lebih tinggi di Pulau Pinang (+RM9.4 bilion), Selangor (+RM5.0 bilion), W.P. Kuala Lumpur (+3.2 bilion), Johor (+RM707.8 juta), Perak (+RM681.3 juta), Melaka (+RM398.3 juta) dan Sabah (+RM165.2 juta).
Nilai import turut merekodkan penurunan di beberapa negeri seperti Negeri Sembilan RM368.3 juta, W.P. Labuan (-RM266.8 juta), Sarawak (-RM193.7 juta), Pahang (-RM140.7 juta), Kelantan (-RM91.3 juta), Perlis (-RM57.4 juta), Kedah (-RM48.6 juta) dan Terengganu (-RM27.3 juta).
“Pulang Pinang mendominasi import Malaysia dengan sumbangan 28.6 peratus, diikuti oleh Selangor (26.2 peratus), Johor (18.3 peratus), W.P. Kuala Lumpur (9.6 peratus) dan Kedah (4.9 peratus),” katanya. –UTUSAN











