SETELAH lebih empat dekad berkhidmat dalam politik Amerika Syarikat (AS), tokoh Demokrat veteran, Nancy Pelosi, mengumumkan persaraannya daripada Kongres dan tidak akan bertanding semula selepas tamat penggal pada Januari 2027.
Keputusan yang diumumkan pada awal November lalu sekali gus menamatkan kerjaya politik yang menjadikan beliau antara wanita paling berpengaruh dalam sejarah politik AS.
“Saya ingin anda, rakyat San Francisco, menjadi yang pertama mengetahui saya tidak akan bertanding semula untuk Kongres,” kata Pelosi dalam satu kenyataan video.
Pelosi, 85, menjadi wanita pertama yang memegang jawatan Speaker Dewan Perwakilan dan mengetuai partinya di dewan rendah Kongres dari 2003 hingga 2023.
Dikagumi sebagai pakar strategik dengan gaya kepimpinan yang tegas untuk partinya, beliau memimpin perundangan bersejarah melalui Kongres ketika mengharungi perpecahan politik yang sengit di AS.
Pelosi juga merupakan musuh ketat Presiden Donald Trump dan pernah mengejutkan Washington pada 2020 apabila beliau mengoyakkan salinan ucapan Trump kepada Kongres secara langsung di televisyen.
Sepanjang kerjayanya, beliau mengetuai dua usaha pemecatan terhadap Trump. Pertama, pada 2019 berhubung isu Ukraine dan kedua pada 2021 susulan insiden serangan ke atas Capitol AS.
Walaupun memasuki politik pada usia yang agak lewat, beliau dengan cepat naik ke jawatan tinggi sehingga menjadi figura penting dalam politik liberal Pantai Barat dan akhirnya sebagai wanita paling berkuasa dalam sejarah AS.
Pelosi kini dalam penggal ke-19 dan mewakili San Fransisco selama 38 tahun, namun popularitinya tertumpu kerana kebolehan di peringkat kebangsaan dengan memimpin partinya selama dua dekad.
Sebagai Speaker Dewan selama lapan tahun, beliau berada di kedudukan kedua dalam barisan presiden selepas timbalan presiden, termasuk semasa penggal pertama Trump yang huru-hara.
Pelosi memainkan peranan penting dalam meluluskan dasar kesihatan utama Presiden Barack Obama dan pelbagai rang undang-undang berkaitan infrastruktur serta perubahan iklim di bawah pentadbiran Presiden Joe Biden.
PENGARUH KEKAL UTUH
Pelosi merupakan cucu kepada imigran Itali, dilahirkan di Baltimore. Bapanya, Thomas D’Alesandro pernah berkhidmat sebagai Datuk Bandar dan ahli Kongres yang mendidiknya tentang ‘politik perhubungan rakyat’.
Beliau berpindah ke San Fransisco dan membesarkan lima anak bersama ahli perniagaan, Paul Pelosi, sebelum dipilih ke Kongres pada usia 47 tahun.
“Nancy Pelosi akan direkodkan sebagai Speaker terhebat dalam sejarah Amerika, hasil daripada ketabahan, intelektual, kebolehan strategik dan advokasinya yang berani,” kata rakan sekerja dalam Dewan Perwakilan California sebelum berpindah ke Senat, Adam Schiff.
Semasa serangan ke atas Capitol AS pada 2021, penyokong bekas Presiden Trump menyerbu pejabatnya dengan orang ramai menjerit ‘Di mana Nancy?’, sambil merosakkan dewan Kongres.
Selepas kejadian itu, Pelosi bertindak pantas untuk memastikan Trump dikenakan pemecatan kedua yang digelar sebagai ‘Presiden AS tidak stabil dan berbahaya’.
Selepas era Trump, Pelosi terus memainkan peranan penting meluluskan agenda Biden, termasuk pakej bantuan COVID-19, perbelanjaan infrastruktur dwipartisan, program sosial dan alam sekitar bernilai trilion dolar serta undang-undang melindungi perkahwinan sejenis.
Beliau digantikan sebagai ketua Demokrat di Dewan oleh Wakil New York, Hakeem Jeffries, pada 2022.
Namun, pengaruh Pelosi kekal utuh, termasuk peranannya dalam meluluskan Proposition 50 di California; usaha persempadanan semula yang bertujuan menawan lima kerusi Dewan bagi Demokrat menjelang pilihan raya pertengahan 2026.-UTUSAN









