Sungai Langat paling kerap tercemar, risiko jejas 3 juta penduduk

Sungai Langat paling kerap tercemar, risiko jejaskan 3 juta penduduk

LEMBANGAN Sungai Langat dilaporkan paling kerap berlaku pencemaran apabila sebanyak 40 peratus daripada keseluruhan kes sepanjang tahun ini direkodkan berlaku.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: Sungai Langat, Selangor didakwa sebagai lembangan yang paling berisiko apabila kerap berlaku kejadian pencemaran sepanjang tahun ini melibatkan 40 peratus daripada keseluruhan kes direkodkan.

Hal demikian mencetuskan risiko gangguan bekalan air kepada lebih tiga juta pengguna di Lembah Klang apabila terdapat Loji Rawatan Air (LRA) di lembangan tersebut seperti Sungai Langat, Bukit Tampoi, Cheras Batu 11 dan Labohan Dagang.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Lembangan Sungai dan Pantai Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Haslina Amer berkata, antara faktor yang mencetuskan risiko tersebut apabila pembangunan pesat termasuk kawasan komersial dan perindustrian di bahagian hulu seperti di Kajang dan Semenyih.

Katanya, selain itu, kejadian kemalangan jalan raya yang mencetuskan tumpahan minyak dan pelbagai bahan lain turut menyumbang kepada risiko pencemaran di sungai berkenaan.

“Bagi tahun 2025, sehingga 23 Disember lalu, terdapat 96 aduan pencemaran sumber air atau sungai direkodkan. 68 daripadanya adalah diterima dan sudah diambil tindakan penguatkuasaan berkaitan.

“Manakala 28 daripadanya adalah kes kecemasan pencemaran sumber air yang berpotensi menjejaskan LRA,” katanya ketika ditemui pada Program Libat Urus Jaringan Bersama Pengamal Media, di sini hari ini.

Jelasnya Haslina, berdasarkan rekod aduan, pencemaran sumber air atau sungai bagi tahun ini kebanyakan dikesan dari kawasan perindustrian yang membuat pelepasan efluen dari premis ke sumber air serta punca tidak tetap seperti aktiviti perbandaran.

“Bagi tahun ini, sebanyak 30 kertas siasatan dibuka dan sembilan kompaun dikeluarkan oleh UAS bernilai RM2 juta bagi kes-kes pencemaran yang disiasat.

“Jumlah keseluruhan kompaun yang dikeluarkan oleh LUAS dari Januari hingga November lalu adalah sebanyak 124 kompaun yang bernilai RM4.87 juta,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×