KUALA LUMPUR: Veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah menggesa parti itu menilai semula kedudukan termasuk mempertimbangkan untuk menarik sokongan terhadap kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim selepas keputusan Titah Adendum bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang diputuskan kelmarin.
Beliau berkata, ini kerana keputusan tersebut tidak selari dengan pendirian dan usaha parti ini untuk memastikan Najib mendapat hak penahanan di rumah.
Malah katanya, keputusan itu juga bertentangan dengan perjuangan UMNO yang sebelum ini mempertahankan kuasa Raja-Raja.
“Langkah ini bagi membolehkan UMNO kembali mempunyai kuasa dan pengaruh dalam landskap politik negara tanpa bergantung kepada mana-mana parti politik lain.
“UMNO ada undang-undang dan Perlembagaan sendiri yang sepatutnya kita hormati, ikut dan patuh. Jika tidak, tiada maknanya perjuangan UMNO selama ini sekiranya hanya kerana kerusi empuk (jawatan),” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Kelmarin Hakim Mahkamah Tinggi, Alice Loke Yee Ching memutuskan Titah Adendum yang membenarkan Najib untuk menghabiskan baki hukumannya di rumah sebagai tidak sah dan tidak boleh dilaksanakan
Ekoran itu Najib perlu menghabiskan baki hukuman penjara atas kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd. di Penjara Kajang dan bukannya di rumah.
Yee Ching memutuskan demikian selepas berpuas hati isu berkaitan tahanan rumah tidak pernah disebut, dibincang dan diputuskan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan yang bersidang pada 29 Januari tahun lalu.
Memperincikan penghakimannya, Yee Ching berkata, Titah Adendum itu tidak sah dan tidak boleh dilaksanakan bagi maksud menjalani tahanan rumah di negara ini.
Bagaimanapun, perbalahan timbul apabila beberapa pemimpin DAP termasuk Setiausaha Publisiti DAP memuat naik hantaran ‘Another reason to celebrate this year end’ (satu lagi sebab untuk meraikan hujung tahun ini) bersama pautan berita portal bertajuk ‘No house arrest for Najib (Tiada tahanan rumah untuk Najib).
Dalam pada itu, Tengku Razaleigh turut mempersoalkan tindakan pucuk pimpinan parti itu yang sehingga tidak mengadakan persidangan khas bagi menyatakan pendirian dalam isu Titah Adendum Najib yang diputuskan kelmarin.
Beliau berkata, persidangan khas itu penting bagi menilai kedudukan parti berhubung keputusan mahkamah serta langkah yang wajar diambil, khususnya dalam konteks UMNO sebagai antara tonggak utama penubuhan Kerajaan Perpaduan.
Katanya, UMNO sebelum ini telah menyatakan pendirian dan berusaha untuk memastikan Najib mendapat hak penahanan rumah.
“Pimpinan di peringkat 191 bahagian juga tidak boleh berdiam diri, sebaliknya perlu menzahirkan pendirian sama ada dalam bentuk dukacita atau kekecewaan terhadap kegagalan usaha-usaha tersebut dilaksanakan,” jelasnya. – UTUSAN










