BARU-BARU ini, seruan umat Islam untuk membaca ayat-ayat al-Quran dari surah tertentu bagi memohon keselamatan negara melalui Doa Untuk Selamatkan Malaysia merupakan langkah yang baik. Bahkan, sesuai amalan yang amat dianjurkan dalam Islam sebagai cara mendekatkan diri kepada Allah dan memohon petunjuk serta perlindunganNya.
Realitinya, negara kita masih berdepan pelbagai cabaran, termasuk bencana alam, jenayah, rasuah mahupun penyelewengan dalam pentadbiran. Doa semata-mata tidak mampu menghentikan kesalahan atau mengubah realiti jika tiada tindakan konkrit diambil.
Islam menekankan tanggungjawab individu dan pemimpin dalam membanteras kemungkaran, bukan sekadar memohon perlindungan melalui doa.
Dalam konteks ini, pihak kerajaan dan agensi berwajib perlu memainkan peranan proaktif dengan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang melanggar undang-undang dan melakukan dosa.
Usaha penguatkuasaan, pencegahan dan pendidikan moral masyarakat adalah pelengkap kepada amalan ibadah. Dengan cara ini, doa menjadi lebih bermakna kerana disertai usaha nyata untuk membersihkan masyarakat daripada kemungkaran.
Kesimpulannya, doa untuk keselamatan negara hanya akan lengkap apabila disokong dengan tindakan tegas untuk menegakkan keadilan dan mencegah kemungkaran.
Pemimpin dan rakyat perlu berperanan secara serentak untuk memohon perlindungan Allah sambil menjalankan tanggungjawab masing-masing bagi memastikan negara aman, bersih dan berkat.
Dalam Islam, usaha dan doa berjalan seiring bukannya dengan hanya salah satu sahaja kerana ia tidak mencukupi.-UTUSAN
TEROPONG JAUH
Jerantut,
Pahang











