MELAKA: Cadangan pembinaan Jambatan Pengkalan Balak ke Dumai, Indonesia sepanjang 47.7 kilometer (km) berisiko tinggi kepada kedudukan fiskal negara dan negeri, selain dibincangkan tanpa libat urus menyeluruh bersama wakil rakyat pembangkang serta penjelasan jelas kepada rakyat.
Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Melaka, Bakri Jamaluddin berkata, projek mega bernilai puluhan bilion itu wajar dinilai secara kritikal ketika kerajaan berdepan kekangan kewangan dan tahap keberhutangan awam yang tinggi.
“Projek berskala besar seperti ini tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa tanpa analisis kos dan manfaat yang telus dan menyeluruh.
“Dalam keadaan sumber awam terhad, keutamaan sepatutnya diberikan kepada projek yang memberi manfaat langsung dan segera kepada rakyat Melaka,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan, kerajaan negeri telah memperhalusi kajian awal projek itu sebelum dibentangkan kepada Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) pada Januari ini untuk penelitian lanjut sebelum diserahkan kepada pihak Indonesia.
Bakri yang juga Ahli Parlimen Tangga Batu turut mempersoalkan perbelanjaan awal RM500,000 dana awam bagi kajian kebolehlaksanaan projek berkenaan yang didakwa tidak didedahkan secara terbuka kepada rakyat.
“Rakyat berhak mengetahui anggaran kos keseluruhan, struktur pembiayaan serta jangkaan pulangan ekonomi bersih projek ini.
“Jika RM500,000 itu digunakan secara bersasar, ia boleh membantu ribuan warga emas dan memberi kesan segera kepada ekonomi tempatan,” katanya.
Katanya, mengoptimumkan penggunaan Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) dan perkhidmatan feri Melaka–Dumai jauh lebih realistik, melibatkan kos lebih rendah serta mampu menjana pulangan ekonomi lebih pantas kepada komuniti setempat termasuk nelayan dan peniaga kecil di Pengkalan Balak.
“Kerajaan negeri didesak mendedahkan sepenuhnya hasil kajian kebolehlaksanaan awal dan membentangkannya dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka akan datang,” katanya. – UTUSAN










