PETALING JAYA: Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) laluan Sungkai-Slim River Kembali beroperasi hari ini selepas terjejas akibat kejadian pokok tumbang semalam.
Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) berkata, bagaimanapun terdapat kesan kelewatan terhadap perjalanan perkhidmatan ETS, susulan pelaksanaan operasi menggunakan satu landasan di laluan berkenaan.
Katanya, kerja-kerja baik pulih sistem elektrifikasi di lokasi kejadian sedang giat dilaksanakan oleh pasukan teknikal KTMB bagi memastikan operasi tren dapat dipulihkan sepenuhnya dengan selamat dan secepat mungkin.
“KTMB turut memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami serta menghargai kesabaran dan kerjasama para penumpang sepanjang tempoh gangguan terbabit.
“Penumpang ETS yang memilih untuk tidak meneruskan perjalanan akibat kelewatan melebihi dua jam, layak mendapatkan pemulangan tambang penuh di kaunter tiket dalam tempoh tujuh hari dari tarikh perjalanan, tertakluk kepada terma dan syarat sedia ada,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada masa sama, penumpang yang mengalami kelewatan perjalanan sehingga atau melebihi empat jam dan membeli Pelan Takaful Premium, boleh membuat tuntutan dengan menghubungi Etiqa Claim Assist atau melalui e-mel kepada [email protected]. – UTUSAN










